Monday, January 28, 2013

Scones Lazat Ala Cameron Highlands

Scones memang kegemaran En Bapak. Kalau ke Cameron Highlands tak sah kalau tak order ketika melawat ladang teh atau ladang strawberi. Masa order scones di Cameron Bharat tempohari, rasanya saya kurang gemar mungkin sebab tepung oatmilnya membuatkan rasanya berat dan cepat muak.

Kalau scones di Boh Ringlet sedap dan ringan je rasanya. Manakala kalau di Boh Sungai Palas walaupun sconesnya sedap tapi kurang kick sebab dihidangkan sejuk. Scones ni membuka selera bila makan panas-panas ditambah dengan adanya sos strawberi dan mentega untuk sapuan. 

Saya pernah mencuba membuat scones sebelum ini. Tapi, hasilnya mengecewakan. Sudahlah tak sedap, keras lepastu tak selera nak habiskan. Namun, selepas melihat ada sekotak kecil strawberi lagi yang tinggal, saya terus menggoggle resepi scones untuk dibuat.

Akhirnya saya memilih untuk mencuba resepi scones yang dikongsi oleh Tun Telani. Hasilnya adalah seakan sama dengan yang kami pernah rasa di CH. Rangup diluar dan lembut di dalam. Baunya bila dimasak memang membuatkan perut berkeroncong. Tapi, yang paling penting sila gunakan mentega buttercup dan susu carnation. Memang wangi je kejadian.

Tradisional Sweet Scones
(menghasilkan 8 biji scones mengikut saiz)
Bahan-bahan:
  • 1 1/2 cawan tepung naik sendiri
  • 2 sudu besar gula halus
  • 1 sudu besar baking powder - saya ikut tun letak 1/2 sb, mungkin lain kali buat penuh 1sb
  • secubit garam
  • 4 sudu besar / 50g mentega- saya guna mentega buttercup
  • 1/2 cawan susu - saya guna susu cair carnation
Cara menyediakannya:
  1. Ayak tepung, baking powder dan garam ke dalam mangkuk.
  2. Masukkan mentega dan ramas-rams dengan hujung jari sampai nampak peroi.
  3. Masukkan susu dan gaul dengan garfu sampai jadi doh yg lembut.
  4. Canai setebal 3 cm dan terap dgn cookie cutter. Saya guna acuan bulat untuk goreng telur.
  5. Bakar pd suhu 200 C selama 12 minit. Hidang panas-panas bersama butter dan jem pilihan.
Sos Strawberi
Bahan-bahan:
  • 2 cawan buah strawberi
  • 3 sudu besar gula halus - tambah jika perlu
Cara menyediakannya:
Bersihkan strawberi, potong kecil dan masukkan dalam periuk. Masukkan gula dan kacau semua hingga hancur dan pekat.
Kacau selalu guna api kecil. Jika mahu lebih pekat seperti jem masukkan sedikit tepung jagung. Siap.




Friday, January 25, 2013

Rahsia Menghasilkan Kari Ikan Ala Mamak

Selalunya kalau teringin makan ikan masak kari, ikan sembilang, keli dan siakap yang selalu menjadi pilihan. Biasa yang saya belajar daripada mak dan mentua, bahan tumis untuk kari mesti masuk sedikit halia. Tak kira kari ikan atau daging.

Namun, ketika menziarahi keluarga Liza, kawan sekolej saya di Penang tahun lepas, mak beliau menghidangkan kari ikan siakap kepada kami. Rasanya amat berlainan tak macam yang saya dan mama masak selalu. Lalu, saya tanpa segan silu bertanyakan resepinya. Semua rempah tumisnya adalah sama namun bila diselidiki kembali saya dapati halia tidak dimasukkan ke dalam masakan kari berasaskan ikan.

Satu lagi tips, memasak kari ikan yang sedap adalah dengan menambah rempah halba ke dalamnya. Tips ini saya peroleh daripada seorang uncle India yang sedang bersama-sama mengambil rempah ketika di Mydin. Katanya, orang Melayu mesti tak guna halba dalam masakan kari ikan. Saya memberitahunya saya ada gunakan halba, tapi halba campur. Lalu, beliau mengesyorkan saya menggunakan halba semata-mata untuk impak rasa yang lebih. 

Setelah mencubanya, saya akui rasanya seakan malah lebih baik daripada kari kedai mamak. hehehe...*perasan. Saya kongsikan resepi kari ikan yang biasanya saya sajikan di rumah.

Kari Ikan Sembilang Ala Mamak
Bahan-bahan:
  • 2 ekor ikan sembilang bersaiz sederhana - dibersih, dicuci dan dibelah 6
  • Beberapa batang bendi 
  • Sebiji tomato- dibelah empat
  • Sedikit air asam jawa
  • Air
  • Garam dan bahan perasa
  • Beberapa sudu santan - jika suka
 Bahan tumisan: 
  • 2 labu bawang besar - sebiji ditumbuk dan sebiji lagi dihiris kasar
  • 4 ulas bawang putih - dua ulas ditumbuk dan dua ulas lagi dihiris
  • 1/4 sudu jintan manis, jintan putih dan halba
  • 1/2 sudu cili kisar / serbuk cili - jika suka lebih pedas
  • Setengah paket kecil rempah kari ikan - saya guna Baba's
  • Beberapa helai daun kari

Cara menyediakannya:
1. Panaskan sesenduk minyak dan tumis jintan manis, jintan putih dan halba. Setelah naik bau, masukkan bawang yang ditumbuk serta daun kari dan masak hingga layu. Masukkan cili jika suka. 
2. Setelah itu, masukkan bawang yang dihiris dan serbuk kari ikan. Kacau rata kemudian masukkan air asam jawa dan air secukupnya. Biarkan mendidih.
3. Setelah itu, masukkan kepingan ikan dan biarkan masak.Jika suka, masukkan beberapa sudu santan untuk rasa yang lebih lemak. Masukkan garam dan perasa, 
4. Akhir sekali, setelah kari hampir pekat, masukkan tomato dan bendi. Masak kira-kira 2 minit dan tutup api.

Tuesday, January 22, 2013

Sup Kobis Bunga Berkeju

Asalnya nak buat resepi sup kobis bunga ala Rachel Allens dalam majalah Saji. Namun, disebabkan ketiadaan krim fraiche di tesco, jadi saya ubah sup kobis bunga ini mengikut gaya Jamie Oliver. Bagi saya, sup ini sangat mudah disediakan dan membuatkan Khalish dan Ilhan menyangka ia adalah sup cendawan bukannya kobis. hehe...Masuk dalam senarai resepi.

Bahan-bahan:
  • 1 biji bunga kobis (saya guna 600gm) - potong halus mengikut bunganya
  • 1 sudu besar mentega
  • 2 labu bawang Holland - didadu halus
  • 500 ml stok ayam (saya campurkan 2 kiub stok ayam ke dalam air panas)
  • 2 batang besar saderi - dipotong kecil
  • sedikit serbuk lada hitam
  • Beberapa keping keju cheddar - dipotong halus atau diparut
  • Daun ketumbar - dicincang halus
Cara menyediakannya:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang hingga naik bau. Masukkan batang saderi dan masak hingga lembut.
2. Masukkan kobis bunga. Kacau seketika dan masukkan stok ayam.
3. Masak hingga mendidih dan kobis menjadi empuk.
4. Setelah kobis lembut, tutup api. Biarkan lima minit dan kisar menjadi lembut dan sebati. 
5. Setelah itu masukkan kembali dalam periuk dan panaskan hingga mendidih. Jika sup terlalu pekat, tambahkan lagi sedikit air panas. Masukkan sedikit demi sedikit.
6. Perasakan dengan sedikit lada hitam atau pati ayam. Biarkan hingga mencapai kepekatan yang diingini. Kacau selalu.
7. Untuk menghidang, masukkan ke dalam mangkuk, taburkan dengan keju cheddar, lada hitam dan daun ketumbar. Enak dimakan bersama roti perancis.





Wednesday, January 16, 2013

COD: Selamat tinggal sardin cap ayam

 *COD diatas : bermaksud Cerita Orang Dapur
Setiap bulan sardin adalah benda penting yang wajib beli. Paling kurang tiga tin mesti masuk dalam troli tesco. Inilah penyelamat saya kalau lauk tinggal sipi-sipi menanti keesokkan hari saya ke pasar. Oh, .sekarang ni tugas ke pasar diambil alih sepenuhnya saya selepas En Bapak patah buku lali tahun lepas.

Berbalik kepada kisah sardin tadi, biasanya kalau lauk saya cuma masak sambal sardin, sayur dan goreng telur dadar. Dah siap juadah makan tengahari ringkas dan sedap. Tak pun, buat roti sardin untuk sarapan. Sekarang ni, saya perasan harga sardin dan barang lain dah naik melambung-lambung. Kalau takde promosi setin sardin kecik boleh mencecah dekat RM3++. Kalau promosi bolehlah dapat lagi dalam RM2.99. 

So, rasa macam kena cari alternatif lain bagi mengurangkan kadar penjimatan wang bagi membolehkan kita membelanjakannya ke arah lain. hehe...Jadi, selepas bereksperimen beberapa jenama sardin di pasaran, saya berpendapat sardin yang mampu menyamai kesedapan sardin cap ayam adalah sardin cap tesco choice!

Sumpah! *(chewah...guna tanda seru tu untuk menegaskannya). Rasa sardin dan sosnya dah hampir sangat menyamai cap ayam. Yang lain-lain tak setanding langsung, ada yang rasa pelik pada ikan, masam sangat pada sos dan bukan rasa macam sardin pun ada (ini sardin cap tempatan tapi banyak iklan dibuat di  seberang. cer teka...cer teka...).

Selain sardin, ada juga beberapa barang yang biasa guna tapi dah mahal bagi saya dan sekarang dah bertukar penggantinya adalah : 

kicap kipas udang = jalen
milo = sebuk koko nation choice (ni jenama keluaran mydin sahaja)
nugget = nation choice (sedap penuh dengan isi ayam dan tak terlalu masin)
tisu = cap tesco jelah.
butter = cap toucan.

Macam butter cap toucan, kalau dibelek-belek, butter ni adalah keluaran sama syarikat buttercup. Tapi, lebih murah. Toucan sebelum ni boleh dapat dalam RM2.90-RM3.40. Berbanding buttercup sekarang boleh mencecah RM4.50 bagi 250gm kalau takde promosi.

Rasa toucan kurang bergaram berbanding buttercup. Masa buat kuih raya tahun lepas, saya buat pakai jenama ni dan hasilnya macam kita buat guna buttercup. Cikgu masak saya pun mengesyorkannya. Bertambah sedap kalau kita buat kek batik tau.

Kesimpulannya, kita boleh berjimat dengan membeli barang yang lebih murah harganya tapi setanding dengan yang mahal. Menang membeli, menang memakai. Dulu perbelanjaan bulanan boleh mencecah RM300-RM350. Sekarang kami berjaya mengurangkannya hampir setengah daripadanya. Syukurlah, ada banyak pilihan lain di pasaran.

Wednesday, January 9, 2013

Lempeng Sagu Sempoi

Kenapa sempoi sebab ianya sangat mudah disediakan. Lelap mata pun boleh buat. Konon.

Resepi ni Mak yang ajar. Kalau balik kampung lama dah Mak tak buat. Cuma saya masih meneruskan tradisi sebulan sekali bila teringin buat untuk santapan minum petang. Kalau panas-panas Ilhan dan Khalish memang berebut nak makan. Rasa lemak kelapa dan tekstur kenyal biji sagu memang mengasyikkan.

Sebelum berkahwin En Bapak tak pernah makan lempeng ni. Asyik-asyik lempeng kelapa je. Bosan. Masa mula-mula buat dulu, member siap buat muka pelik kata tak pernah tengok lempeng ni. Siap serkap jarang kata tu makanan orang jawa. Ntah, tak tahu lah resepi dari mana. Mak kata Nenek yang ajar. Tanya Nenek katanya resepi arwah Atuk. Wallahualam.

Jom tengok resepinya: (menghasilkan 2-3 keping lempeng bergantung kepada saiz)
Bahan-bahan:
  • Secawan biji sagu aka sagu mata ikan - direndam lima minit dan ditos
  • Suku cawan kelapa parut - lebih kurang lima sudu makan
  • Garam
  • Gula
  • Sedikit minyak masak

Cara menyediakannya:
1. Gaulkan biji sagu yang telah ditos bersama kelapa parut dan garam. Sekadar terasa masin sudah cukup.
2. Panaskan non stick pan dan lenser dgn sedikit minyak.
3. Letakkan sesenduk adunan, buat bulat dengan menggunakan sudip dan ratakan. Jangan terlalu tebal atau nipis.
4. Tutup dengan tudung periuk dan biarkan kira-kira lima minit dengan api perlahan atau hingga masak kekuningan. Tidak perlu diterbalikkan.
5. Taburkan sedikit gula di atasnya dan biarkan seminit. Tutup api dan angkat.

notadapur: 
- kalau teringin nak makan dengan sambal bilis, tidak perlu ditabur gula di atasnya. 
- biji sagu jangan direndam terlalu lama, nanti lembik sangat dan tak sedap. Asalkan terasa lembut dan kembang sudah cukup.

Selamat mencuba.

Thursday, January 3, 2013

Kaki Ayam : Murah Namun Berkhasiat

Di Pasar Besar Ipoh, sekilogram kaki ayam hanya RM2. Dapat kira-kira 23 kaki untuk dijadikan menu khusus untuk En Bapak. Menurut artikel majalah Saji bulan November lepas, gelatin yang terkandung pada kulit kaki ayam boleh memulihkan mereka yang mengalami penyakit tulang yang haus.

Ini adalah kali pertama saya membeli kaki ayam dalam jumlah yang banyak walaupun jauh di sudut hati ada sedikit kegelian bila terkenangkan ayam-ayam yang tak pakai kasut tu main tanah. hahaha...Ada tiga resepi berjaya dihasilkan dengan sekilogram kaki ayam. Lebih mengejutkan saya, Ilhan yang melebih-lebih menyukai kaki ayam berbanding saya dan Khalish. *budak kecik tu pemilih makanan orangnya.

Hari pertama, saya buat sup kaki ayam, hari kedua saya jadikan kerabu dan hari berikutnya saya buatkan kaki ayam masak kicap. Untuk kerabu dan masak kicap saya terlebih dahulu merebus kaki ayam sampai empuk dan mengasingkan air rebusan sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk. *jangan lupa buang kuku kakinya.

Suka saya kongsikan bila memasak sup tu, jangan ditumis bahan ramuan bagi mengurangkan kandungan minyak Ini kerana gel lemak yang sedia ada akan mengeluarkan minyak apabila dimasak nanti. Ia cukup direbus dengan semuanya.

Saya kongsikan resepi mudah menyediakan sup dan kerabu kaki ayam yang lebih sedap daripada beli di kedai.
Betapa nampak berminyaknya sup ini walaupun beberapa titis minyak saja digunakan
Sup Kaki Ayam:

Masukkan sedikit cengkih, buah pala, bunga lawang dan kulit kayu manis, akar daun ketumbar ke dalam periuk. Masukkan juga hirisan kasar bawang merah, bawang putih dan halia muda mengikut sukatan kaki ayam yang dimasak. Lagi banyak lagi sedap. 

Masukkan kaki ayam bersama air separasnya. Kemudian masukkan serbuk sup dan sedikit lada hitam jika suka. Saya turut tambahkan dengan kentang dan lobak merah dipotong kecil. Renehkan dengan api sederhana hingga empuk dan kembang. 

Setelah itu baru bubuh garam dan seketul kiub pati ayam. Setelah masak, taburkan dengan hirisan daun ketumbar. Bila makan panas-panas sambil menggigit kaki ayam, syok je semacam....yum...

Kerabu Kaki Ayam: (sumber: hidangan terbaik dunia Thai - terbitan PTS)
Bahan-bahan: 
  • 10 kaki ayam (direbus empuk)
  • 2 batang serai dipotong nipis
  • 4 urat kacang panjang
  • 1 biji tomato dipotong dadu 
  • 4 biji cili api
  • 1 inci halia hiris nipis
  • 1 biji bawang merah hiris nipis
  • 2 biji limau nipis -diambil jus
  • 2 sudu besar cuka
  • 2 sudu besar udang kering- ditumbuk
  • 2 sudu besar kacang gajus
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara menyediakannya:
1. Satukan semua bahan kecuali jus limau nipis dan kacang gajus. 
2. Biarkan seketika dan perahkan jus limau dan gaul sebati.
3. Tabur kacang gajus sebelum menghidang.

Kaki Ayam Masak Kicap:

Saya pasti semua tahu memasaknya bukan? Ikut resepi masing-masinglah ye. Tapi kalau saya suka masuk sedikit rempah bukhari Faiza. Terangkat!

Selamat mencuba.