Thursday, January 3, 2013

Kaki Ayam : Murah Namun Berkhasiat

Di Pasar Besar Ipoh, sekilogram kaki ayam hanya RM2. Dapat kira-kira 23 kaki untuk dijadikan menu khusus untuk En Bapak. Menurut artikel majalah Saji bulan November lepas, gelatin yang terkandung pada kulit kaki ayam boleh memulihkan mereka yang mengalami penyakit tulang yang haus.

Ini adalah kali pertama saya membeli kaki ayam dalam jumlah yang banyak walaupun jauh di sudut hati ada sedikit kegelian bila terkenangkan ayam-ayam yang tak pakai kasut tu main tanah. hahaha...Ada tiga resepi berjaya dihasilkan dengan sekilogram kaki ayam. Lebih mengejutkan saya, Ilhan yang melebih-lebih menyukai kaki ayam berbanding saya dan Khalish. *budak kecik tu pemilih makanan orangnya.

Hari pertama, saya buat sup kaki ayam, hari kedua saya jadikan kerabu dan hari berikutnya saya buatkan kaki ayam masak kicap. Untuk kerabu dan masak kicap saya terlebih dahulu merebus kaki ayam sampai empuk dan mengasingkan air rebusan sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk. *jangan lupa buang kuku kakinya.

Suka saya kongsikan bila memasak sup tu, jangan ditumis bahan ramuan bagi mengurangkan kandungan minyak Ini kerana gel lemak yang sedia ada akan mengeluarkan minyak apabila dimasak nanti. Ia cukup direbus dengan semuanya.

Saya kongsikan resepi mudah menyediakan sup dan kerabu kaki ayam yang lebih sedap daripada beli di kedai.
Betapa nampak berminyaknya sup ini walaupun beberapa titis minyak saja digunakan
Sup Kaki Ayam:

Masukkan sedikit cengkih, buah pala, bunga lawang dan kulit kayu manis, akar daun ketumbar ke dalam periuk. Masukkan juga hirisan kasar bawang merah, bawang putih dan halia muda mengikut sukatan kaki ayam yang dimasak. Lagi banyak lagi sedap. 

Masukkan kaki ayam bersama air separasnya. Kemudian masukkan serbuk sup dan sedikit lada hitam jika suka. Saya turut tambahkan dengan kentang dan lobak merah dipotong kecil. Renehkan dengan api sederhana hingga empuk dan kembang. 

Setelah itu baru bubuh garam dan seketul kiub pati ayam. Setelah masak, taburkan dengan hirisan daun ketumbar. Bila makan panas-panas sambil menggigit kaki ayam, syok je semacam....yum...

Kerabu Kaki Ayam: (sumber: hidangan terbaik dunia Thai - terbitan PTS)
Bahan-bahan: 
  • 10 kaki ayam (direbus empuk)
  • 2 batang serai dipotong nipis
  • 4 urat kacang panjang
  • 1 biji tomato dipotong dadu 
  • 4 biji cili api
  • 1 inci halia hiris nipis
  • 1 biji bawang merah hiris nipis
  • 2 biji limau nipis -diambil jus
  • 2 sudu besar cuka
  • 2 sudu besar udang kering- ditumbuk
  • 2 sudu besar kacang gajus
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara menyediakannya:
1. Satukan semua bahan kecuali jus limau nipis dan kacang gajus. 
2. Biarkan seketika dan perahkan jus limau dan gaul sebati.
3. Tabur kacang gajus sebelum menghidang.

Kaki Ayam Masak Kicap:

Saya pasti semua tahu memasaknya bukan? Ikut resepi masing-masinglah ye. Tapi kalau saya suka masuk sedikit rempah bukhari Faiza. Terangkat!

Selamat mencuba.




4 comments: