Sunday, January 4, 2015

Sotong Goreng Tepung Idaman Anak Tekak

Pernah tak mengalami pengalaman bila ke restoran makanan laut sotong goreng tepung yang dipesan tiba-tiba bertukar jadi cekodok sotong. Pernah...? Pernah...? Rasa nak meraung je rasa tahu. Kat kedai bukan main mahal sekilo dekat RM40 padahal beli kat pasar baru sekilo RM18-RM22. Sotong saiz jumbo tau bukan cecumit.
Maka, kegeraman akibat situasi berkenaan membuatkan saya mula menggoogle resepi sotong goreng ranggup yang ada. Mula-mula ada juga 2 kali buat resepi yang berbeza tak menjadi. Kali ketiga saya jumpa resepi ni dalam blog siapa tah menjadi yang teramat sangat. Alhamdulillah, sangat berterima kasih kepada yang berkongsi resepi ini.

Kerana selepas itu, saya dah terer buat sotong goreng ranggup dan tak perlu nak ke restoran seafood semata-mata nak memesan menu sampingan berkenaan. Khalish yang hanya makan sotong goreng ranggup ni pun dah pandai request bila tibminggu menu makanan laut. Sungguh...dahlah jimat masak sendiri lepas tu banyak pulak tu tak perlu berebut. Makanlah sampai resdung datang balik. hehehe...

Resepi Sotong Goreng Ranggup

Bahan-bahan:

4 ekor sotong (saiz jumbo)
1 cawan tepung gandum (200gm)
1/2 cawan tepung jagung
3 sb tepung beras
Garam secukupnya (untuk gaul dalam sotong dan dalam tepung)
Serbuk lada hitam dan lada putih
Sedikit serbuk kunyit
Sebiji telur (dipukul sedikit)
Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

1. Bersihkan dan siang sotong bulat-bulat. Toskan (biarkan di atas penapis agar airnya kering). Gaul dengan sedikit garam.
2. Campurkan semua jenis tepung, garam, serbuk lada hitam dan lada putih. Bahagikan kepada tiga bahagian.
3. Ambil secukupnya campuran tepung yang pertama dan campurkan dengan telur yang dipukul. Agak-agak melekit sikit dan masukkan sedikit sotong di dalamnya.
4. Panaskan minyak. 
5. Ambil sekeping-sekeping hirisan sotong tadi dan salutkan dengan bahagian tepung yang kedua (tiada telur) dan goreng hingga masak. Jangan terlalu lama nanti akan liat sotongnya. Agak-agak dah garing angkat dengan segera. 
6, Masa menggangkat toskan minyaknya terlebih dahulu baru letakkan atas pinggan beralas tisu dapur.
7. Enak dimakan bersama sos buatan sendiri atau kicap bercili. Nyum...

#biasa saya buat ada lebihan tepung yang berbaki. Sayang jika dibuang, simpan dalam plastik lain kali boleh guna lagi. 



Wednesday, January 8, 2014

Siput Pahat aka Siput Buluh aka Ambal dan Petua Memasaknya

Orang Melaka panggil siput ni Pepahat. Orang Sabah dan Sarawak panggil Ambal. Tak pernah pun mencarinya walaupun rumah mak depan pantai. Masa zaman sekolah dulu, saya pernah makan rendang pepahat yang diberi jiran sekampung, Mak Ncik Timah. 

Mencarinya bukan mudah, kena bermain lumpur nak dapatkannya tahu. Tak kena teknik memang payah jawabnya. Setahu saya, Mak Ncik Timah yang gemar memancing bersama kakak sulungnya mencari pepahat ni di kawasan berlumpur berhampiran Kampung Telok Gong. Dekat-dekat kawasan pulau apabila air laut cetek.

Dengar cerita, siput ni semakin susah nak dapat sekarang.

Masa di Ipoh dulu, jumpa siput ni dalam freezer Mydin Meru Raya. Encik Bapak terkadang merungut sebab saya pernah bercerita mengenai pepahat tapi bila balik kampung nan hado. hehe...Cerita je lebih katanya.

Jadi,  bila dah jumpa, memang beliau teruja nak merasa siput ni. Lagipun, banyak juga dalam sebungkus tu harga tak sampai RM10. Datang dari Pantai Remis.
Siput pepahat ni macam-macam boleh buat - tapi bagi saya masak rendang lagi ummmphh...Kenyal dan mengasyikkan. Ratah-ratah makan dengan roti pun sedap.

Oleh sebab siput ni hidup di kawasan berlumpur, haruslah direndam dengan air terlebih dahulu lebih kurang setengah jam. Bagi lumpur dan pasir-pasir keluar terlebih dahulu.

Lepas ditapis segala kekotoran, bolehlah dibuka kulitnya yang rupa buluh tu dan bersihkan bahagian dalamnya di bawah pancuran air. Gitu...Kadang-kadang terasa pasir di bahagian isinya. Bersihkan sebersih-bersihnya kerana perasa pasir memang akan memotong rasa masakan kita bukan? :)

Lepas dah berkeputusan nak masak apa, silalah sediakan bahagian tumisan dengan secukupnya. Nak buat masak sweet sour boleh, asam rebus boleh, nak masuk dalam sayur kacau goreng pun boleh. 

Cuma pastikan siput dimasukkan di penghujung masa memasak. Jangan lama sangat, agak-agak dah kenyal sikit bolehlah ditutup api. Alah, macam kita masak udang dan sotong juga, kalau terlebih masak akan jadi liat dan rasa kering. Tak feel.

Saya buat rendang siput pahat. Resepi rendanglah kan, semua tahu tapi saya masuk daun limau bukan daun kunyit. 

Selamat mencuba. 

Tuesday, November 19, 2013

Shawarma Ayam

Orang Arab panggil roti ni shawarma.

Mekdi panggil McWrap.

Khalish panggil lempeng burger.

Berintikan daging lembu, kambing atau ayam yang diperap kemudian digandingkan bersama sayur-sayuran dalam satu balutan roti sememangnya satu juadah yang mengenyangkan.

Rotinya tak kisahlah nak guna roti arab, pita, taco atau buat lempeng pun boleh. Terpulang pada tekak masing-masing. Padahal bahan-bahannya lebih kurang sama cuma cara penyediaannya sedikit berbeza.

Terliur melihat shawarma ayam yang disediakan dalam you tube baru-baru ini membuatkan saya mencuba sendiri di rumah. Padahal boleh je nak beli kat Mekdi kan. Tapi kita cuba buat sendiri ye. Paling best berjaya menghasilkan 8 keping roti yang dijadikan sarapan pagi hingga ke makan tengah hari. Diet nasi sekejap. hehehe

Moh tengok penyediaannya:

Bahan-bahan untuk roti baghdad aka roti arab:
3 cawan tepung gandum
1 sk garam
2 sk baking powder
4 sb shortening
1 1/4 cawan air suam

Cara menyediakannya:
1. Campurkan bahan-bahan kering dalam mangkuk. Masukkan shortening dan gaul sebati.

2. Masukkan air suam sikit demi sedikit hingga dan gaul hingga menjadi doh.

3. Bahagikan kepada beberapa biji dan buatkan bulat. Rehatkan 10 minit.

4. Canaikan doh mengikut ketebalan yang dikehendaki. (kalau nak macam roti pita, canai tebal sikit. Saya suka nipis sikit jadi canaikan macam capati, sebab masa memasak nanti roti akan naik sedikit).

5. Goreng atas non stick pan dengan beberapa titis minyak disapu bagi mendapatkan efek belang. Letakkan kepingan doh selama 2-3 minit setiap permukaan dan angkat.

Bahan Inti:
Dada ayam / daging lembu secukupnya
Rempah : (kisar semua - jangan halus sangat)
1/2 sk jintan manis
1/2 sk jintan putih
1/4 sk biji ketumbar
1/4 sk lada hitam
Garam
Beberapa sudu yougart asli (mengikut nisbah ayam / daging)
1 ulas bawang putih - diketuk
1sb minyak zaitun
Pati ayam

1. Campurkan semua bahan dan perap sekurang-kurangnya 1-2 jam. Lagi lama lagi sedap.
2. Panggang ayam hingga masak. (Saya letak atas grill pan).

Bahan sampingan dan sayur-sayuran:
Kentang goreng - tanpa garam
Bawang besar - dihiris
Tomato - dihiris
Timun - dihiris
Mayonis
Cili sos

Cara membalutnya:

Alas pinggan dengan aluminium foil yang dipotong segi empat. Letakkan sekeping roti baghdad, sapukan mayonis di atasnya. Kemudian letakkan hirisan ayam / daging, bawang, timun, tomato dan kentang goreng. Kemudian tuang sedikit sos cili dan gulungkan.


Sunday, September 22, 2013

Perhatian! Perhatian! Kelas Masak Akan Bermula Kembali

Ramai yang email saya bertanyakan mengenai kelas memasak yang paling murah di Ipoh pernah saya sertai di sini. Dengan sukacitanya saya memaklumkan kelas masakan Sweets Buns Sweet Cakes Bakery (SBSCB) kelolaan Cikgu Shahidan akan bermula kembali hujung minggu ini. 

Kelas dimulakan pada 28 September ini dengan Modul Aneka Talam (Sesi 1) - Talam Puding Marble, Talam Keladi, Talam Suji, Talam Tokyo, Talam Cha-cha / sekoteng dan Talam Pulut Delima. Yurannya hanya RM80. 

Pada 29 September pula kelas masakan barat diperkenalkan buat pertama kali dengan penyediaan membuat lasagnea, sherpard pie, brown sause, white sause, cocktail sause, fish & chips, potato salad dan coleslow. Harga promosi adalah Rm100 berbanding harga sebenar Rm150.

Kelas seterusnya pada 5 Oktober, kelas aneka kek antarabangsa - red velvet with cream cheese, boston cheese cake, tiramisu cheese cake dan strawberry cheese cake. Yurannya juga RM80.

Minggu berikutnya pula kelas pastri manis (sesi 1) - yang menawarkan teknik membuat tart buah, coklat fudge, blueberry cheese, tart telur, lemon meringue pie dan apple pie filling. Yurannya hanya RM70.

Kesemua kelas bermula jam 10 pagi hingga 5 petang. Dan yang paling seronoknya, hasil kelas masakan kita pada hari berkenaan boleh dibawa pulang. Yahoo...

Jadi, apa tunggu lagi, jika berminat cepat-cepatlah mendaftar dengan Kak Siti Khadijah di talian 017 – 540 9116. Untuk maklumat lanjut, boleh layari website SBSCB.  



Wednesday, September 18, 2013

Ada Lebihan Nasi? Moh Kita Buat Apam

Kat rumah ni, kadang-kadang mesti ada lebihan nasi. Maklumlah makan berempat dan budak-budak punya selera pun bergantung pada lauk juga. Padahal sukatan beras sama je masak tiap-tiap hari. Walaupun tak banyak dalam secawan gitu tapi sayang nak dibazirkan. Kalau rajin, jadilah lebihan tadi cucur nasi bilis ke, lempeng nasi ke, tak pun campurkan je balik dalam periuk nasi dan makan. 

Rajin lebih sikit, jadilah apam yang gebu ni. Kali pertama buat, memang bertambah-tambah kami makan. Maklumlah teksturnya betul-betul gebu dan sedap. Dapat resepi ni pun dari blog En Mat Gebu kita tu. Banyak juga hasil yang diperoleh dalam 20 biji gitu. Senang sangat-sangat tak yah nak tunggu hari pasar malam nak beli apam ni. Selamat mencuba. 

Apam Beras Gebu
Bahan-bahan:
1 cawan nasi sejuk
3/4 cawan gula pasir (kurangkan 1 sb)
1 1/4 cawan air 
1 cawan tepung beras
1 cawan tepung gandum
1 sk yis
Pewarna makanan
Kelapa parut + secubit garam (kukus sekejap)

Cara menyediakannya:

1. Satukan tepung beras, tepung gandum dan yis. Kacau rata dan ketepikan. (selalunya saya kembangkan yis dulu dengan 3 sb air suam dan sedikit gula).
2. Kisar nasi bersama air dan gula hingga halus. Tuangkan ke dalam mangkuk berisi tepung tadi. Kacau sebati menggunakan whisk dan perap selama 3 jam. 
3. Panaskan kukusan, sapu acuan apam (kuih lompang) dengan sedikit minyak supaya mudah dikeluarkan nanti. Kacau bancuhan apam tadi dan campurkan pewarna makanan yang disukai. kacau rata dan sudukan acuan 3/4 cawan penuh.
4. Masukkan dalam pengukus menggunakan api besar selama 15 minit. Keluarkan apam dan hidangkan bersama kelapa parut.

nota:
1. Jangan biarkan apam terlebih masak melebihi masa, nanti apam kurang lembut.
2. Pastikan sukatan adalah tepat bagi memastikan bancuhan tidak terlalu pekat atau cair.
3. Balut pengukus dengan tuala dapur bagi mengelakkan air menitis atas apam. 

Friday, August 23, 2013

Bakso Ipoh Mali

Amboi...memang lama betul saya tak update blog masak ni. Tak pelah, saya cuba pelan-pelan merajinkan diri berkongsi resepi yang dah berjaya saya buat ek. Tak lama dulu dah pernah buat bakso tapi guna bebola daging - bakso yang dibeli di Pasar Besar Ipoh.

Kalau beli bakso yang dah ready made ni kena masak hari tu juga untuk rasa kesegarannya. Paling lewat pun sehari lepas tu. Kalau tak memang rasa semacam la. Lepas kejadian buat bebola ikan tak jadi akibat keyakinan melampau hingga salah menggunakan tepung (patut guna tepung ubi bukan tepung jagung), semangat memasak saya betul-betul menurun. Konon serik la nak buat sebarang resepi bebola sendiri.

Tiba-tiba (dah macam buku cerita lak ye) sebelum Ramadan lepas, teringin pula nak buat bakso sendiri. Lagi puas dan ikut citarasa sendiri. Boleh potong lobak merah besar-besar (kat rumah ni ada 2 orang macam arnab - sapa lagi kalau bukan Khalish dan Ilhan) kasi taruh dengan kentang banyak-banyak. Resepi bebola bakso saya peroleh dari internet, kuah sup dan kuah kicapnya saya guna resepi daripada mak. Hasilnya menjadi dan sangat menggembirakan hati. Cubalah ye...

Bakso Ipoh Mali

Untuk bebola daging:

300gm daging kisar
1 sb tepung gandum
3 sb tepung ubi
1 biji telur putih
1/4 sk lada sulah
1/4 sk garam

Cara menyediakannya:
1. Campurkan semua bahan. Ambil sedikit dan bulat-bulatkan mengikut saiz dikehendaki. (tips: basahkan tangan dan bulat-bulatkan atas tapak tangan. Sapu sedikit minyak untuk melicinkan permukaan bebola).

2. Masukkan dalam air mendidih dan rebus hingga bebola terapung di permukaan air. Pastikan menggunakan api sederhana supaya bakso tak mudah pecah. Angkat dan toskan.

Untuk kuah sup:
1 labu bawang besar - tumbuk
2 ulas bawang putih - tumbuk
Sedikit halia dihiris
Rempah 4 sekawan (bunga lawang, buah pelaga, cengkih dan kulit kayu manis)
Sedikit rempah serbuk sup dan serbuk kurma - lebih kurang 1 sb setiap satu
(campurkan sedikit air untuk dijadikan pes)
Air (700ml)
Lobak merah
Kentang
Garam

1. Tumis rempah 4 sekawan dan bawang hingga naik bau. Masukkan halia.
2. Masukkan rempah yang dijadikan pes.
3. Masukkan air beserta lobak dan kentang. Biarkan mendidih dan empuk.
4. Perasakan dengan garam.

Untuk Kuah Kicap:
9 biji cili api akar (nak pedas boleh tambah lagi)
4 sb bawang goreng
1/2 senduk besar kicap manis
1 biji limau kasturi

Kisar semua bahan dan tambah gula dan garam ikut keperluan. Jika pekat tambah lagi kicap. Jangan tambah air.

Lain-lain bahan pelengkap:

Mee kuning
Tauhu goreng
Daun bawang dan sup
Sawi
Bawang goreng

Penyediaan:

Isikan mee kuning, tauhu, sawi dan sup ke dalam mangkuk.
Masukkan bebola daging dan hiaskan daun bawang serta bawang goreng.
Masukkan kuah kicap sebagai pelengkap rasa.

Tips:

#ketika menghidang masukkan beberapa biji bebola daging ke dalam periuk sup. Biarkan 2-3 minit. Jangan biarkan lama-lama kerana bebola akan menjadi kembang dan hancur di dalam kuah sup. Angkat terus letakkan ke dalam mangkuk. 


Selamat mencuba.







Wednesday, June 5, 2013

Akok Yang Betul-betul Mppph...!

Tekak memang dah lama teringin makan akok. Nak gi pantai timur memang tak delah bukan setakat ni. Walaupun dah jumpa resepi yang ringkas tapi mengenangkan yang akhirnya saya seorang je makan, maka tertangguhlah hasrat untuk mencuba.

Balik rumah mentua minggu lepas, kebetulan ada pasar malam berhampiran rumah. Jalan punya jalan, terjumpa penjual akok 5 keping = RM2. Apalagi, cepat-cepatlah beli dan bawa balik. Harap-harap rasanya seperti yang saya bayangkan.

Alhamdulillah, memang kena dengan tekak dan tak manis sangat. Rasa macam mengidam yang berjaya ditunaikan. Eh, jangan salah sangka, mengidam ni bukan ada apa-apa tau. hehe...*sila percaya.