Showing posts with label sarapan. Show all posts
Showing posts with label sarapan. Show all posts

Wednesday, September 18, 2013

Ada Lebihan Nasi? Moh Kita Buat Apam

Kat rumah ni, kadang-kadang mesti ada lebihan nasi. Maklumlah makan berempat dan budak-budak punya selera pun bergantung pada lauk juga. Padahal sukatan beras sama je masak tiap-tiap hari. Walaupun tak banyak dalam secawan gitu tapi sayang nak dibazirkan. Kalau rajin, jadilah lebihan tadi cucur nasi bilis ke, lempeng nasi ke, tak pun campurkan je balik dalam periuk nasi dan makan. 

Rajin lebih sikit, jadilah apam yang gebu ni. Kali pertama buat, memang bertambah-tambah kami makan. Maklumlah teksturnya betul-betul gebu dan sedap. Dapat resepi ni pun dari blog En Mat Gebu kita tu. Banyak juga hasil yang diperoleh dalam 20 biji gitu. Senang sangat-sangat tak yah nak tunggu hari pasar malam nak beli apam ni. Selamat mencuba. 

Apam Beras Gebu
Bahan-bahan:
1 cawan nasi sejuk
3/4 cawan gula pasir (kurangkan 1 sb)
1 1/4 cawan air 
1 cawan tepung beras
1 cawan tepung gandum
1 sk yis
Pewarna makanan
Kelapa parut + secubit garam (kukus sekejap)

Cara menyediakannya:

1. Satukan tepung beras, tepung gandum dan yis. Kacau rata dan ketepikan. (selalunya saya kembangkan yis dulu dengan 3 sb air suam dan sedikit gula).
2. Kisar nasi bersama air dan gula hingga halus. Tuangkan ke dalam mangkuk berisi tepung tadi. Kacau sebati menggunakan whisk dan perap selama 3 jam. 
3. Panaskan kukusan, sapu acuan apam (kuih lompang) dengan sedikit minyak supaya mudah dikeluarkan nanti. Kacau bancuhan apam tadi dan campurkan pewarna makanan yang disukai. kacau rata dan sudukan acuan 3/4 cawan penuh.
4. Masukkan dalam pengukus menggunakan api besar selama 15 minit. Keluarkan apam dan hidangkan bersama kelapa parut.

nota:
1. Jangan biarkan apam terlebih masak melebihi masa, nanti apam kurang lembut.
2. Pastikan sukatan adalah tepat bagi memastikan bancuhan tidak terlalu pekat atau cair.
3. Balut pengukus dengan tuala dapur bagi mengelakkan air menitis atas apam. 

Friday, May 24, 2013

Mangkuk Sarapan Semudah 1,2,3


Assalamualaikum wbt

Lama betul saya tak update resepi yang dicuba sendiri. Bukan malas tau tapi kurang rajin. hihihi...Dah pernah nampak resepi ni dalam buku masakan untuk kanak-kanak. Tang roti yang dijadikan mangkuk tapi dalam buku tu intinya adalah nasi goreng. 

Kemudian, ternampak pula Serena Masterchef Selebriti buat benda yang sama. So, semangat nak rasa  (padahal nafsu makan tu) berkobar-kobar dan akhirnya berjaya dihasilkan pada sarapan semalam. Cuma lain kali kena buat lebih sebab En Bapak kata tak cukup enam keping. hihihi...Nak ulang buat inti balik, tak kuasa akak. 

Mungkin anda boleh olah intinya dengan daging kisar, atau hirisan sosej yang dikaramel seketika atau mungkin boleh ditaburkan keju di atasnya. Tak salah mencuba kan. Jom intai resepi olahan saya ni, kalau sudi cubalah sendiri.

MANGKUK SARAPAN SEMUDAH 1,2,3
(Inspirasi daripada blog Martha Stewart)

BAHAN-BAHAN:

6 keping roti putih 
Semangkuk kecil inti ayam
(saya perap ayam bersama sedikit daun ketumbar dan ditumis bersama bawang putih dan bawang merah)
Semangkuk kecil sardin 
(saya tumiskan bersama bawang dan masukkan 3 batang cili padi yang dihiris halus. Kemudian perahkan dengan limau kasturi)
Sedikit kucai untuk taburan
Beberapa biji telur
Taburan lada hitam

CARA MENYEDIAKANNYA:

1. Terap acuan bulat atau gunakan saja cawan atau mangkuk ke atas roti. Kemudian susun dalam dulang muffin yang disapu dengan marjerin.

2. Kemudian, bakar roti berkenaan selama 5 minit pada suhu 180 darjah. Keluarkan.


3. Isikan inti ayam atau sardin tadi. Selepas itu, pecahkan telur di atasnya. Taburkan sedikit garam, daun kucai dan lada hitam. Bakar lagi selama 15-17 minit bergantung samada telur separuh masak atau sepenuh masak yang anda mahukan.

Tara....dah siap. Saya lebih sukakan bakul yang berinti tanpa telur. En Bapak lebih sukakan yang bertelur. Rasanya rangup di luar dan lembut di dalam. Enak dicicah dengan sos cili. Makan panas-panas tau. 

Wednesday, April 24, 2013

Piza Paling Cepat Dalam Dapur

Yeah...PIZA MEGI. Makan sementara panas dan stok masih ada. 

Jangan marah ar...nanti kena jual! hihihi

Monday, January 28, 2013

Scones Lazat Ala Cameron Highlands

Scones memang kegemaran En Bapak. Kalau ke Cameron Highlands tak sah kalau tak order ketika melawat ladang teh atau ladang strawberi. Masa order scones di Cameron Bharat tempohari, rasanya saya kurang gemar mungkin sebab tepung oatmilnya membuatkan rasanya berat dan cepat muak.

Kalau scones di Boh Ringlet sedap dan ringan je rasanya. Manakala kalau di Boh Sungai Palas walaupun sconesnya sedap tapi kurang kick sebab dihidangkan sejuk. Scones ni membuka selera bila makan panas-panas ditambah dengan adanya sos strawberi dan mentega untuk sapuan. 

Saya pernah mencuba membuat scones sebelum ini. Tapi, hasilnya mengecewakan. Sudahlah tak sedap, keras lepastu tak selera nak habiskan. Namun, selepas melihat ada sekotak kecil strawberi lagi yang tinggal, saya terus menggoggle resepi scones untuk dibuat.

Akhirnya saya memilih untuk mencuba resepi scones yang dikongsi oleh Tun Telani. Hasilnya adalah seakan sama dengan yang kami pernah rasa di CH. Rangup diluar dan lembut di dalam. Baunya bila dimasak memang membuatkan perut berkeroncong. Tapi, yang paling penting sila gunakan mentega buttercup dan susu carnation. Memang wangi je kejadian.

Tradisional Sweet Scones
(menghasilkan 8 biji scones mengikut saiz)
Bahan-bahan:
  • 1 1/2 cawan tepung naik sendiri
  • 2 sudu besar gula halus
  • 1 sudu besar baking powder - saya ikut tun letak 1/2 sb, mungkin lain kali buat penuh 1sb
  • secubit garam
  • 4 sudu besar / 50g mentega- saya guna mentega buttercup
  • 1/2 cawan susu - saya guna susu cair carnation
Cara menyediakannya:
  1. Ayak tepung, baking powder dan garam ke dalam mangkuk.
  2. Masukkan mentega dan ramas-rams dengan hujung jari sampai nampak peroi.
  3. Masukkan susu dan gaul dengan garfu sampai jadi doh yg lembut.
  4. Canai setebal 3 cm dan terap dgn cookie cutter. Saya guna acuan bulat untuk goreng telur.
  5. Bakar pd suhu 200 C selama 12 minit. Hidang panas-panas bersama butter dan jem pilihan.
Sos Strawberi
Bahan-bahan:
  • 2 cawan buah strawberi
  • 3 sudu besar gula halus - tambah jika perlu
Cara menyediakannya:
Bersihkan strawberi, potong kecil dan masukkan dalam periuk. Masukkan gula dan kacau semua hingga hancur dan pekat.
Kacau selalu guna api kecil. Jika mahu lebih pekat seperti jem masukkan sedikit tepung jagung. Siap.




Tuesday, January 22, 2013

Sup Kobis Bunga Berkeju

Asalnya nak buat resepi sup kobis bunga ala Rachel Allens dalam majalah Saji. Namun, disebabkan ketiadaan krim fraiche di tesco, jadi saya ubah sup kobis bunga ini mengikut gaya Jamie Oliver. Bagi saya, sup ini sangat mudah disediakan dan membuatkan Khalish dan Ilhan menyangka ia adalah sup cendawan bukannya kobis. hehe...Masuk dalam senarai resepi.

Bahan-bahan:
  • 1 biji bunga kobis (saya guna 600gm) - potong halus mengikut bunganya
  • 1 sudu besar mentega
  • 2 labu bawang Holland - didadu halus
  • 500 ml stok ayam (saya campurkan 2 kiub stok ayam ke dalam air panas)
  • 2 batang besar saderi - dipotong kecil
  • sedikit serbuk lada hitam
  • Beberapa keping keju cheddar - dipotong halus atau diparut
  • Daun ketumbar - dicincang halus
Cara menyediakannya:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang hingga naik bau. Masukkan batang saderi dan masak hingga lembut.
2. Masukkan kobis bunga. Kacau seketika dan masukkan stok ayam.
3. Masak hingga mendidih dan kobis menjadi empuk.
4. Setelah kobis lembut, tutup api. Biarkan lima minit dan kisar menjadi lembut dan sebati. 
5. Setelah itu masukkan kembali dalam periuk dan panaskan hingga mendidih. Jika sup terlalu pekat, tambahkan lagi sedikit air panas. Masukkan sedikit demi sedikit.
6. Perasakan dengan sedikit lada hitam atau pati ayam. Biarkan hingga mencapai kepekatan yang diingini. Kacau selalu.
7. Untuk menghidang, masukkan ke dalam mangkuk, taburkan dengan keju cheddar, lada hitam dan daun ketumbar. Enak dimakan bersama roti perancis.





Wednesday, January 9, 2013

Lempeng Sagu Sempoi

Kenapa sempoi sebab ianya sangat mudah disediakan. Lelap mata pun boleh buat. Konon.

Resepi ni Mak yang ajar. Kalau balik kampung lama dah Mak tak buat. Cuma saya masih meneruskan tradisi sebulan sekali bila teringin buat untuk santapan minum petang. Kalau panas-panas Ilhan dan Khalish memang berebut nak makan. Rasa lemak kelapa dan tekstur kenyal biji sagu memang mengasyikkan.

Sebelum berkahwin En Bapak tak pernah makan lempeng ni. Asyik-asyik lempeng kelapa je. Bosan. Masa mula-mula buat dulu, member siap buat muka pelik kata tak pernah tengok lempeng ni. Siap serkap jarang kata tu makanan orang jawa. Ntah, tak tahu lah resepi dari mana. Mak kata Nenek yang ajar. Tanya Nenek katanya resepi arwah Atuk. Wallahualam.

Jom tengok resepinya: (menghasilkan 2-3 keping lempeng bergantung kepada saiz)
Bahan-bahan:
  • Secawan biji sagu aka sagu mata ikan - direndam lima minit dan ditos
  • Suku cawan kelapa parut - lebih kurang lima sudu makan
  • Garam
  • Gula
  • Sedikit minyak masak

Cara menyediakannya:
1. Gaulkan biji sagu yang telah ditos bersama kelapa parut dan garam. Sekadar terasa masin sudah cukup.
2. Panaskan non stick pan dan lenser dgn sedikit minyak.
3. Letakkan sesenduk adunan, buat bulat dengan menggunakan sudip dan ratakan. Jangan terlalu tebal atau nipis.
4. Tutup dengan tudung periuk dan biarkan kira-kira lima minit dengan api perlahan atau hingga masak kekuningan. Tidak perlu diterbalikkan.
5. Taburkan sedikit gula di atasnya dan biarkan seminit. Tutup api dan angkat.

notadapur: 
- kalau teringin nak makan dengan sambal bilis, tidak perlu ditabur gula di atasnya. 
- biji sagu jangan direndam terlalu lama, nanti lembik sangat dan tak sedap. Asalkan terasa lembut dan kembang sudah cukup.

Selamat mencuba.

Wednesday, November 21, 2012

Cucur Geragau Mak

Sekitar 1990-an terutama penghujung tahun adalah masa yang paling saya tunggu-tunggu. Ini kerana waktu tersebut adalah musim geragau. Geragau atau anak udang kecil memang menjadi kegemaran saya sejak kecil. Walaupun boleh dijadikan bahan utama untuk gulai atau kerabu namun cucur aka xekodok geragau tetsp menjadi pojaan hati saya. Klik sini untuk bebelan lanjut.

Inilah rupa udang geragau segar
Resepi cucur geragau aka cekodok air tangan Mak memang tak pernah menghampakan. Kalau cucur ni tengah masak bau daun kunyit merebak di seluruh rumah. Kalau dibuat sarapan pagi hidangan ni seumpama jam loceng yang mampu membuatkan kami adik beradik terus terjaga dari tidur. (hehe...ni zaman anak dara yang kurang rajin tau).

Lebih-lebih lagi Mak suka goreng adunan besar-besar. Masuk empat lima biji dah senak perut. Pulak tu kalau dah sejuk sekalipun cucur ni masih lembut dijamah dengan sos buatan rumah. Saya abadikan resepi ini untuk ingatan masa akan datang. Terima kasih Mak.

RESEPI CUCUR GERAGAU
Bahan-bahan:
  • 2 genggam udang geragau segar (lebih banyak lagi syok)
  • 3 cawan tepung gandum
  • 2 helai daun kunyit (hiris halus)
  • 1 1/2 - 2 cawan air suam (ikut kepekatan adunan)
  • 1/2 cawan kelapa parut
  • Sedikit garam
  • Minyak untuk menggoreng
Cara menyediakannya:
1. Udang geragau dibersihkan dan ditos seketika.
2. Satukan tepung gandum, udang geragau, kelapa dan daun kunyit. Masukkan air sedikit demi sedikit hingga mendapat kepekatan dikehendaki dan perasakan dengan garam.
3. Panaskan minyak dan goreng hingga masak. Enak dimakan bersama sos cili atau sambal tumis.

Sos cili buatan rumah:

Suku cawan sos tomato + suku cawan sos cili + 3 sudu air asam jawa + 5 sudu air suam+ 1 sudu besar cili kisar + garam + gula + 2 ulas bawang putih diketuk = Masukkan dalam periuk dan biarkan mendidih hingga pekat.

Selamat mencuba