Showing posts with label laksa. Show all posts
Showing posts with label laksa. Show all posts

Wednesday, February 13, 2013

Laksa Pangkor Ori

Sebelum terlupa, baik saya catatkan resepi yang diperoleh daripada penjual laksa Pangkor ketika bercuti di Lumut, baru-baru ini. Kebetulan bertemu pemilik kedai, saya terus tanyakan resepi asli laksa berkenaan. Bahan-bahan disebut begitu sahaja tanpa sukatan khusus. Main ingat sahaja, masuk dalam kereta terus taip disimpan dalam memori henfon.

Mi laksa Pangkor ni ada dijual di kedai hasil laut Jamilah. Sebungkus berharga RM2.50 untuk makan empat hingga kelima orang. Rasanya seakan gabungan mi kuning dan laksa. Lembut sikit daripada spaghetti. Waktu mencelur tak perlu lama, masukkan dalam air mendidih lebih kurang lima minit, angkat dan toskan. Rasanya juga sudah siap bergaram.

Saya pernah buat dulu resepinya di sini. Tapi itu versi derhakalah. Ini resepi asli. Yang memekatkannya adalah kepala ikan kembung yang dikisar itu. Rasa awal seperti kuah masak pindang. Tapi, bila dimakan bersama sambal udang kering, baru terangkat.

Sambal udang kering tu, buat pekat sikit, masukkan air asam jawa dan tumbuk-tumbuk manja sikit udang kering tu. Masukkan udang lepas menumis bawang dan cili merah. Biarkan hingga keluar minyak. Jangan lupa tambah garam dan gula. Fuhh...

Laksa Pangkor
Bahan-bahannya:
  • 6 ekor ikan kembung
  • 5-6 cawan air
  • 1 batang serai
  • 1 keping asam gelugur
  • 1 inci halia
  • Mi Laksa Pangkor - dicelur dan ditos
  • Sambal udang kering
  • Kacang panjang - dihiris nipis
  • Lobak merah - dipotong dadu
  • Lobak asin- dipotong kecil dan digoreng seketika 
Cara menyediakannya:
1. Potong kepala ikan dan asingkan badannya. Masukkan air ke dalam periuk bersama serai, halia dan asam gelugur. Biarkan mendidih.

2. Dalam periuk yang lain, rebus kepala ikan tadi hingga masak dan kisar hingga halus dengan sedikit air. Tapis dan ketepikan.

3. Masukkan badan ikan tadi ke dalam periuk 1 dan biarkan ikan masak. Setelah itu, masukkan garam dan bahan perasa. Masukkan tapisan kepala ikan tadi ke dalamnya untuk memekatkan kuah. Kecilkan api.

4. Sementara itu, celur mi laksa hingga lembut dan toskan.

5. Setalah masak, masukkan laksa, bahan sayur dan tuangkan kuah di atasnya. Enak dimakan bersama sambal udang kering.



Monday, December 24, 2012

Laksa Johor Menangis (sebab sedap atau pedas)

Dah lama tak pergi Johor. Banyak tahun dah. Kali terakhir rasanya ke Muar makan mi bandung masa zaman sekolah rendah. Kalau laksa Johor, teringat air tangan arwah kawan MIL (moga rohnya dicucuri rahmat) yang pakar dalam masakan itu ketika beraya di rumahnya dua tahun lepas. Siap bertambah 2-3 kali. *buruk perangai.

Dulu ada Laksa Shack di Tesco Station 18, Ipoh namun dah ditutup selepas kami menikmati Laksa Johor dan Laksa Sarawak yang juga kegemaran saya. Di Ipoh, tak banyak makanan negeri lain yang dijual terutama Laksa Johor. Kalau teringin sangat terpaksalah buat sendiri. Nak balik ke KL adalah mengambil masa yang lama tak tentu bila.
 .
Jadi cari punya cari terjumpa dalam dapur Kak Gee resepi laksa Johor yang mabeles. Beliau pernah meniaga laksa ni walaupun dia bukan orang Johor. Boleh tengok resepi asal di blog beliau ye. 

Bahan-bahan:
  • 1kg ikan sardin (ada orang panggil ikan selayang) - saya guna 10 ekor 
  • ¾ cawan rempah kari ikan (Kak Gee guna Babas) - saya pun sama
  • ½ cawan cili kering yg dikisar - setakat 2 sudu besar - anak-anak nak makan sama
  • ¾ cawan udang kering (cuci bersih, keringkan dan kisar) - 5 sudu besar
  • 5 batang serai - 3 batang
  • 2 inci halia
  • 2 inci lengkuas
  • 5 biji bawang besar
  • 2 cawan santan pekat - 1 1/2 cawan
  •  ½ cawan minyak masak
  • 1 sudu besar kerisik
Bahan Mi:
1 paket spaghetti (boleh dimakan 10 orang) direbus dengan sedikit garam. Bila rasa dah kenyal, tapis dan siram air sejuk pada keseluruhan spaghetti. Tapis air dan bubuh sedikit minyak supaya tidak melekat.

Bahan ulam-ulaman:
  • Timun
  • Taugeh
  • Daun kesom/daun selasih
  • Kacang panjang
  • Limau kasturi 
  • Bawang besar
  • Lobak asin - digoreng terlebih dahulu dengan sedikit minyak
Cara menyediakannya:

1. Ikan dibersihkan dan direbus dengan air bersama garam dan sekeping asam gelugur hingga ikan masak. Air kukusan disimpan. Asingkan isi ikan dan tulangnya. Kisar isi dan air kukusan ikan tadi. Kemudian tulangnya juga dikisar dan ditapis. Ketepikan

2. Kisar bawang, serai, lengkuas dan halia sampai halus.

3. Panaskan periuk dan tumis bahan kisar tadi hingga naik bau. Masukkan rempah ikan dan goreng pantas selama satu minit. Masukkan setengah cawan air dan goreng kira-kira lima minit. Kemudian masukkan cili kisar dan goreng lagi sampai terbit minyak.

4. Selepas itu, masukkan ikan yang telah dikisar. Kacau rata dan masukkan tiga cawan air dan santan. Bila mendidih, masukkan pula udang kering kisar dan satu sudu besar kerisik.

5. Bila kuah dah menggelegak, perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa. Cara menghidang adalah dengan meletak spaghetti ke dalam mangkuk, taburkan dengan bahan ulaman, isi kuah laksa dan sambal udang kering di atasnya. Terliur pulak....

Tips:
Kuah laksa Johor agak pekat dan pandai-pandailah menambah air bagi mengurangkan kepekatannya. Gunakan air rebusan ikan tadi.
Bagi saya, laksa ini adalah lebih sedap daripada LS (oppss...sori) kerana gabungan rasa lemak ikan, sambal udang kering dan ulam sangat seimbang. Hasilnya juga adalah sangat banyak. Rezeki untuk jiran sebelah. 

Syukur...



Wednesday, September 19, 2012

Laksa Pangkor versi derhaka

Buat ni dah lama dah. Masa En Bapak balik dari tugasan di Lumut, beliau membwa pulang seplastik penuh produk hasil laut Pangkor seperti ikan bilis, udang kering, keropok, sotong kering, ikan jeruk dan mee laksa pangkor.

Dah banyak kali ke Lumut dan Pulau Pangkor tak pernah pula terjumpa dengan kedai yang menjual laksa homemade Pangkor ni. Jadi,  bila ditanya macamana nak sediakan laksa ni, beliau suka-suka hati meminta saya mencari resepi di internet. Sayang punya pasal, saya turutkan sahaja. Banyak versi rupanya laksa pangkor ni. Baru mula nak masak, saya baru perasan yang hasil kuahnya akan menjadi seperti kuah masak pindang.

So, tekak macam dah kurang bila teringatkan laksa+kuah pindang. Makanya, saya ubah resepi asal menjadi resepi laksa ikut tekak sendiri. Derhaka sepenuhnya. En Bapak agak terkejut namun mengakui hasilnya adalah sedap. Mungkin lain kali kita ikut resepi asal ye sebab stok mee dah habis. Rasa mee ni adalah seperti rasa mee+laksa dan bila rebus sekejap je dah lembut. Sekian, harap maklum. hehe

Laksa Mee Pangkor
Sumber : Majalah Saji Keluaran Mei 2009 menerusi blog ini
Bahan-bahannya:-
1 paket laksa mee (celur hingga lembut & toskan)

Bahan Sambal:-
  • 20 tangkai cili kering*
  • 2 labu bawang besar*
  • 2 ulas bawang merah*
  • 5 ulas bawang putih*
  • 500gm udang kering(rendam & toskan airnya)*
  • Secubit belacan*(*b)
  • Sedikit air asam jawa
  • Garam & gula secukup rasa
Bahan Sayur:-
  • 10 tangkai kacang panjang - potong halus
  • 2 ulas bawang merah - hiris
  • 2 ulas bawang putih - hiris
  • 1 sudu kecil kicap
  • 1/2 batang lobak merah - potong dadu
  • 1 paket lobak masin
  • Garam secukup rasa
Bahan Sup Ikan :-
  • 2 ulas bawang merah - hiris
  • 2 ulas bawang putih - hiris
  • 1 ekor ikan kembung- potong 3 bahagian
  • 1 ekor ketam - belah empat
  • Fish ball - Yana tambah
  • Sup bunjut- Yana tambah 
  • 1 tangkai daun sup - hiris
  • 1 tangkai daun bawang - hiris
  • Air secukupnya
Cara menyediakannya:-
  1. Sambal- Tumis bahan kisar hingga garing. Masukkan air asam jawa, garam & gula secukup rasa. Kacau sebati. Tumis hingga pecah minyak & sambal masak. Ketepikan.
  2. Sayur Kacang- Tumis bawang putih & bawang merah hingga naik bau. Masukkan lobak masin.Masak sekejap hingga lobak lembut sedikit. Kemudian, masukkan kacang panjang & lobak merah. Gaul rata. Masukkan kicap & garam secukup rasa. Ketepikan.
  3. Sup - Tumis bawang merah & bawang putih hingga naik bau. Masukkan air, ikan, sup bunjut, fishball & ketam. Biarkan hingga mendidih. Masukkan garam & serbuk perasa secukup rasa & biarkan mereneh seketika. Padamkan api. 
  4. Masukkan laksa mee dalam mangkuk diikuti dgn sambal & sayur kacang. Tuangkan sup diatasnya & siap untuk dihidangkan.  
 Kuah versi derhaka saya:
  1. 4 ekor ikan kembung - direbus dengan air dan asam keping. (tos ikan dan simpan air rebusan)
  2. Asingkan isi ikan dan tulang. Kisar isi terlebih dahulu bersama sedikit air dan kisar halus tulangnya pula.
  3. Masukkan ke dalam stok rebusan tadi.
  4. Kisar 2 labu bawang besar dan masukkan dalam kuah tadi. Masukkan bunga kantan dan daun kesum beresama 3 keping asam keping. Masak hingga mendidih dan perasakan dengan garam dan gula. (saya tak masukkan cili kisar kerana kuah akan dimakan dengan sambal seperti resepi di atas.) 
  5. Campurkan mee laksa dalam mangkuk diikuti dengan sayur kacang. Isi kuah dan masukkan sambal ikut pedas.  Memang sedap. Terliur. 

Sunday, August 26, 2012

Mee Udang Mentadak/Lipan/Ronggeng

 Assalamualaikum,
Rasanya masih belum terlewat saya mengucapkan salam aidilfitri kepada pengunjung yang sudi membaca blog saya ini. Pasti ada di antara kita masih lagi dalam mood beraya dan menerima pelawaan ke rumah terbuka. Niat saya ingin membuat rumah terbuka untuk kawan-kawan dan jiran tahun ini tapi masih mempertimbangkannya atas beberapa faktor. Insyaallah. 

Sebenarnya entry mengenai resepi ini sudah saya catatkan di sini. Biasalah kalau En Bapak ke pasar dan ternampak udang ini terjual, pasti dia segera menelefon saya untuk mengubah satu menu mingguan kami kepada resepi ini. Oleh kerana udang ini jarang-jarang diperoleh, maka saya, isteri yang patuh (cewah!) terus bersetuju cadangan si suami.

Tips yang dapat saya kongsikan setelah beberapa kali memasak resepi ini adalah udang ini lebih manis dimasak pada hari berkenaan atau selewat-lewatnya sehari selepas hari ia dibeli. Pendek kata, lagi cepat dimasak lagi sedap.

Pastikan kepala udang dan ekornya dicabut dengan berhati-hati kerana dikhuatiti isinya yang sedikit akan terlerai ketika proses berkenaan dilakukan. Selepas itu bahagian tersebut bolehlah direbus untuk dijadikan stok. Kemanisan stok udang ini lebih menonjol berbanding udang lain yang saya pernah buat. Sila percaya :).


MEE UDANG LIPAN (@udang mentadak @ udang ronggeng)
Bahan-bahan:
  • 1 bungkus mee kuning (basuh dan dicelur)
  • 10 ekor udang lipan
  • 1 labu bawang besar *
  • 2 ulas bawang putih * (ditumbuk)
  • 1 inci halia (diketuk)
  • 1 1/2 sudu besar cili kisar
  • 1 batang kulit kayu manis (kecil sahaja)
  • 1 keping fish cake*
  • 8 biji fish ball *
  • 1 keping tauhu putih *(dihiris kecil dan digoreng)
  • Sawi putih (dihirs)
  • 1/2 biji tomato (potong dadu)
Bahan perasa:
  • Sos tiram
  • sos tomato
  • Garam / gula (jika perlu)
Bahan sampingan:
  • Telur (direbus)
  • Taugeh (dicelur)
  • Limau kasturi
  • Bawang goreng
Cara menyediakannya:
  1. Udang dibersihkan. Asing kepala dan ekornya. Kemudian rebus dgn 4 cawan air untuk dijadikan stok udang.
  2. Tumis bawang besar, bawang putih, halia dan kulit kayu manis hingga naik bau. Masukkan cili kisar dan goreng hingga garing. Masukkan udang dan stok udang. Biarkan mendidih.
  3. Masukkan fish cake, fish ball dan tauhu. Diikuti denngan sayur sawi dan tomato. Perasakan dengan sos secukup rasa. Biarkan kuah sedikit pekat dan angkat.
  4. Untuk menghidang, satukan mee kuning, taugeh, telur, bawang putih dan limau kasturi. Kemudian, curahkan kuah ke atas mangkuk mee tadi. Siap!!!




Monday, August 6, 2012

Mi Goreng Hijau Chef Norman

Kebiasaannya menu berasaskan mi harus ada dalam senarai mingguan keluarga kami bagi menggantikan pengambilan nasi. Tidak kira samada jenis bergoreng atau berkuah, resepi pilihan adalah berlainan saban minggu bagi mengelakkan selera menjadi jemu.

Semasa kami ke Hatyai awal tahun lalu, saya pernah terlihat menu ini di Restoran Salma tapi tidak terlintas mencubanya. Namun, setelah memperoleh resepi menerusi buku masakan Chef Norman, pemilik restoran Ning di Manchester, saya tidak tunggu lama untuk mencubanya. 

Penggunaan santan, sos ikan dan aroma daun ketumbar memberi rasa yang berlainan dan memikat selera kami anak beranak. Khalish sampaikan berkali-kali minta tambah. Bagi saya, tambahan limau kasturi sebagai pelengkap rasa lemak, masin dan masam amat sesuai dan dicadangkan mi ini dihidangkan panas sejurus selepas dimasak. 5 bintang untuk resepi ini.

Mi Goreng Hijau
Bahan-bahan:
  • 400 gm mi telur (segar)
  • 250gm isi ayam - dihiris nipis
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 2 sudu besar sos ikan
  • 4 sudu besar santan
  • 2 sudu besar ketumbar cincang
  • 100gm bayam
  • Cili merah untuk hiasan
Bahan dikisar:
  • 4 biji cili hijau -dibuang biji
  • 2 batang serai
  • 8 biji bawang merah (saya guna 2 labu bawang  besar)
  • 4 ulas bawang putih
  • 6 helai daun limau purut
  • 50ml air panas (ikut suka samada mahukan mi sedikit berkuah atau tidak)
Cara menyediakannya:
  • Goreng ayam dalam minyak panas sehingga masak.
  • Masukkan bahan kisar dan goreng selama dua minit.
  • Campurkan mi telur, minyak masak, sos ikan dan santan.
  •     (Jika suka mi yang lebih basah masukkan sedikit air panas.)
  • Goreng selama lima minit hingga kesemuanya rata.
  • Akhir sekali masukkan bayam dan daun ketumbar.
  • Masak sehingga bayam layu kemudian padamkan api.
  • Hidangkan dengan hirisan cili merah..

Tips: Penggunaan AIR PANAS ketika menggoreng mi basah mengelakkan mi menjadi lebih basah tanpa mengembangkan mi. 

Selamat mencuba