Showing posts with label ayam. Show all posts
Showing posts with label ayam. Show all posts

Thursday, January 3, 2013

Kaki Ayam : Murah Namun Berkhasiat

Di Pasar Besar Ipoh, sekilogram kaki ayam hanya RM2. Dapat kira-kira 23 kaki untuk dijadikan menu khusus untuk En Bapak. Menurut artikel majalah Saji bulan November lepas, gelatin yang terkandung pada kulit kaki ayam boleh memulihkan mereka yang mengalami penyakit tulang yang haus.

Ini adalah kali pertama saya membeli kaki ayam dalam jumlah yang banyak walaupun jauh di sudut hati ada sedikit kegelian bila terkenangkan ayam-ayam yang tak pakai kasut tu main tanah. hahaha...Ada tiga resepi berjaya dihasilkan dengan sekilogram kaki ayam. Lebih mengejutkan saya, Ilhan yang melebih-lebih menyukai kaki ayam berbanding saya dan Khalish. *budak kecik tu pemilih makanan orangnya.

Hari pertama, saya buat sup kaki ayam, hari kedua saya jadikan kerabu dan hari berikutnya saya buatkan kaki ayam masak kicap. Untuk kerabu dan masak kicap saya terlebih dahulu merebus kaki ayam sampai empuk dan mengasingkan air rebusan sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk. *jangan lupa buang kuku kakinya.

Suka saya kongsikan bila memasak sup tu, jangan ditumis bahan ramuan bagi mengurangkan kandungan minyak Ini kerana gel lemak yang sedia ada akan mengeluarkan minyak apabila dimasak nanti. Ia cukup direbus dengan semuanya.

Saya kongsikan resepi mudah menyediakan sup dan kerabu kaki ayam yang lebih sedap daripada beli di kedai.
Betapa nampak berminyaknya sup ini walaupun beberapa titis minyak saja digunakan
Sup Kaki Ayam:

Masukkan sedikit cengkih, buah pala, bunga lawang dan kulit kayu manis, akar daun ketumbar ke dalam periuk. Masukkan juga hirisan kasar bawang merah, bawang putih dan halia muda mengikut sukatan kaki ayam yang dimasak. Lagi banyak lagi sedap. 

Masukkan kaki ayam bersama air separasnya. Kemudian masukkan serbuk sup dan sedikit lada hitam jika suka. Saya turut tambahkan dengan kentang dan lobak merah dipotong kecil. Renehkan dengan api sederhana hingga empuk dan kembang. 

Setelah itu baru bubuh garam dan seketul kiub pati ayam. Setelah masak, taburkan dengan hirisan daun ketumbar. Bila makan panas-panas sambil menggigit kaki ayam, syok je semacam....yum...

Kerabu Kaki Ayam: (sumber: hidangan terbaik dunia Thai - terbitan PTS)
Bahan-bahan: 
  • 10 kaki ayam (direbus empuk)
  • 2 batang serai dipotong nipis
  • 4 urat kacang panjang
  • 1 biji tomato dipotong dadu 
  • 4 biji cili api
  • 1 inci halia hiris nipis
  • 1 biji bawang merah hiris nipis
  • 2 biji limau nipis -diambil jus
  • 2 sudu besar cuka
  • 2 sudu besar udang kering- ditumbuk
  • 2 sudu besar kacang gajus
  • Garam dan gula secukup rasa

Cara menyediakannya:
1. Satukan semua bahan kecuali jus limau nipis dan kacang gajus. 
2. Biarkan seketika dan perahkan jus limau dan gaul sebati.
3. Tabur kacang gajus sebelum menghidang.

Kaki Ayam Masak Kicap:

Saya pasti semua tahu memasaknya bukan? Ikut resepi masing-masinglah ye. Tapi kalau saya suka masuk sedikit rempah bukhari Faiza. Terangkat!

Selamat mencuba.




Wednesday, December 12, 2012

Kari Devil Daging & Ayam Portugis

Gara-gara penangan menonton masterchef Malaysia tempohari, En Bapak tak pasal-pasal mengidam nak merasa Kari Devil Portugis. Sumpah, walaupun saya anak jati Melaka, tak sekali pun pernah mencuba lauk yang diperkenalkan orang Portugis ni.

Saya peroleh resepi ini daripada blog Ummi Zaihadi (sini) dan sudah mencuba bersama ayam dan daging. Kali pertama saya membuatnya menggunakan daging, terlebih bubuh cili kisar dan rasanya hampir kepada rasa asam pedas tetel. 

Namun, percubaan kali kedua menggunakan ayam menjadi apabila rasa yang terhasil seakan gabungan kari tanpa santan dan asam pedas. Kena masak sendiri baru tahu keenakkan rasanya. Siap berebut-rebut manja dengan En Bapak buat cecah dengan roti paratha ketika minum petang. hehehe...

Mengikut kepada tips yang diberikan Chef Adu, kari devil yang menggunakan daging perlu diperap dengan sesudu dua cuka terlebih dahulu bagi menyerap rasa masam ke dalam daging. Seeloknya dicadangkan menggunakan daging batang pinang dan perap lebih kurang 30 hingga 40 minit.

Bagaimanapun, jika menggunakan ayam tidak perlu diperap dan masak mengikut resepi diberikan. Tapi, apa yang pasti tak jadi kari devil tanpa biji sawi. Selamat mencuba.
 
Bahan-bahan:
  • 1 ekor ayam - dipotong 12 (6 ketul ayam / semangkuk daging dipotong kiub)
  • 3 labu bawang besar - kisar (2 labu)
  • 6 ulas bawang putih - kisar (4 ulas)
  • 5 tangkai cili merah - kisar (1-2 sudu)
  • 3 cm halia - tumbuk
  • 3 biji buah keras - tumbuk (2 biji)
  • 3 cm kunyit hidup - tumbuk
  • 1 sudu kecil biji sawi
  • sedikit gula
  • sedikit garam
  • 1 sudu besar cuka
  •  2 biji terung bulat / bendi (saya tambah)

Cara menyediakannya:
1- Bersihkan ayam, toskan.
2- Tumis biji sawi dan semua bahan kisar sampai pecah minyak. 
3- Masukkan ayam dan masak sampai kecut. Tuangkan secawan air. Tutup periuk agar ayam cepat empuk. 
4- Masukkan semua bahan tumbuk dan gaul rata. Masukkan garam, gula dan cuka secukup rasa. Masukkan juga terung atau bendi. Biarkan empuk selama beberapa minit.
5- Kacau hingga sebati dan sesuaikan rasa. Biarkan mereneh dan agak pekat. Sedia dihidang bersama nasi atau roti. 

notajari: buah keras berfungsi memekatkan kuah.

Wednesday, September 12, 2012

Ayam Berempah Chef Norman

Assalamualaikum kepada anda yang sampai ke blog saya ni.

Biasanya bila sampai giliran minggu menu utamanya adalah ayam, maka saya akan pening kepala. Pening kepala memikirkan menu apa yang boleh disediakan untuk semua orang dan berlainan dari minggu sebelumnya. Penyudahnya saya akan belek buku resepi dan buat carian di internet mencari apa yang kena dengan selera sendiri. Kalau ada bantuan pun, En Bapak sendiri akan request menu apa yang dia nak. 

Jumpa resepi dalam buku masakan Chef Norman. Dah cuba beberapa kali dan resepi kena dengan selera kami berdua. hehe...Anak-anak lebih suka makan ayam goreng rangup, ayam halia atau ayam kicap. Senang kerja dan lagi senang kalau nak suruh diorang makan banyak buat je telur hancur campur kicap. Berebut makan :).

Bahan-bahan:
  • 1 kg paha ayam (saya guna beberapa keping bahagian berlainan)
  • 2 ulas bawang putih
  • 2 biji cili meraj - dibuang biji
  • 2 sk serbuk paprika
  • 1 sk serbuk lada sulah
  • 1 1/2 sb serbuk jintan putih
  • 1/4 sk serbuk pala (saya tak masuk)
  • 1/2 sk garam
  • 2 sb myk masak
Bahan sos:
  • 1 sb minyak masak
  • 2 biji cili padi
  • 100gm cendawan dihiris 
  • 50 ml santan pekat
  • 50mil air
  • 1/2 sb kicap cair
  • 2 sb daun ketumbar cincang
Cara membuatnya:
  1. Kelar peha ayam supaya bahan perap dapat meresap ke dalam siinya. Ketepikan.
  2. Tumbuk bawang putih dan cili menjadi pes.
  3. Satukan serbuk paprika, lada sulah, jintan putih, pala, garam dan campuran cili ke dalam mangkuk. Kacau sebati.
  4. Masukkan paha ayam dan lumurkan rata-rata. Perap sekurang-kurangnya satu jam. Boleh juga diperap semalaman supaya bahan perap lebih mesra. (saya buat dan rasanya sampai ke tulang).
  5. Panaskan ketuhar pada suhu 200 darjah celcius selama 10 minit.Letak peha ayam di dalam tin pembakar dan renjiskan minyak. Panggang selama 30 minit. Baki bahan perap hendaklah disimpan untuk sos.
Untuk sos:
  1. Panaskan sesudu besar minyak. Goreng cendawan hingga layu. 
  2. Masukkan baki bahan perap, cili padi, santan, air dan kicap cair. Masak sehingga mendidih. Campurkan daun ketumbar dan padamkan api.
  3. Susun ayam dalam pinggan dan hidangkan dengan sos dan lemon (saya guna limau nipis je). Dap...dap...dap...