Saturday, June 9, 2012

Lempeng Jagung Berkacang

Tidak sah kalau ke Cameron Highlands jika tidak membeli jagung manis untuk dibawa pulang. Samada direbus, dibuat bubur atau dijadikan cekodok jagung, jagung mesti berada dalam senarai-mesti-beli. Saya mencuba resepi ini selepas membelek resepi hidangan Indonesia dalam sebuah buku mini.

Rasa jintan putih nyata serasi dengan kemanisan jagung dan penambahan daun ketumbar turut memberi rasa yang lebih menyerlah. Disebabkan Khalish alah kepada kekacang, saya tidak memasukkan kacang tanah di dalam resepi ini. Maka, saya menambah beberapa sudu tepung lagi untuk mendapatkan tekstur supaya mudah dibentuk dengan sudu.

Saya kongsikan resepi asal menu ini.
Lempeng Jagung Berkacang
Bahan2:
  • 2 tongkol jagung manis
  • 1 cawan kacang tanah dipanggang (saya tak masuk)
  • 3 batang daun bawang - dicincang (gantikan dengan daun ketumbar)
  • 2 sk halia segar diparut (saya tak masuk)
  • 1 ulas bawang putih -  diketuk
  • 1 sk serbuk jintan putih
  • 1 biji telur - dipukul sedikit
  • 2 sb tepung beras
  • 125 ml minyak
Cara menyediakannya:
  1. Asingkan biji jagung daripada tongkolnya dengan pisau. Campurkan dalam pengisar bersama kacang, daun bawang, halia, bawang putih dan jintan putih. Kisar hingga lumut dan lembik sedikit. Masukkan dalam mangkuk.
  2. Masukkan telur dan tepung beras. Kacau sebati. Jika terlalu lembik, tambah sesudu-dua tepung lagi.
  3. Panaskan minyak dalam kuali leper (minyak sekadar penuh paras dasar kuali. Ceduk adunan menggunakan sudu ke dalam kuali dan leperkan dengan belakang sudu. Masak menggunakan api sederhana hingga keperangan. Letakkan di atas tisu dapur untuk menyerap lebihan minyak.
Nota: Lempeng ini enak dimakan bersama sos cili thai dan biji jagung rebus.