Friday, August 31, 2012

Ketam Bersalut Telur Masin versi Mudah

Walaupun resepi ini dah lama dijeling-jeling dalam majalah Rasa 2008, namun saya baru berpeluang memasaknya. Itupun kerana dah lama tak makan ketam. Resepi ini agak mudah namun rasanya sedap mungkin kerana gabungan mentega dan telur masin serasi di lidah. 

Cuma pendapat saya kalau ada kuning telur masin lagi banyak lagi sedap. Tak silap pernah nampak kuning telur masin dalam tin di tesco tapi bila cari takde la pulak. Jadi guna saja dua biji telur itik yang dibeli En Bapak ketika ke pasar. 

Jom tengok resepi dan cuba sendiri.
Bahan-bahan:
  • 2 ekor ketam -dibersihkan
  • 2 biji telur masin - direbus dan diambil kuningnya
  • 4 sb mentega
  • Gula dan garam secukupnya
  • Minyak masak
  • Daun kari- saya tambah
Cara menyediakannya:
  • Panaskan minyak masak yang banyak dalam kuali. Goreng ketam hingga masak. Angkat dan ketepikan.
  • Panaskan mentega dengan sedikit minyak, masukkan kuning  telur masin yang dihancurkan bersama daun   kari. Masukkan juga gula dan garam secukup rasa.
  • Masukkan ketam dan gaul rata hingga ketam tersalut dengan telur masin tadi.
  • Angkat dan sedia dihidang.

Sunday, August 26, 2012

Mee Udang Mentadak/Lipan/Ronggeng

 Assalamualaikum,
Rasanya masih belum terlewat saya mengucapkan salam aidilfitri kepada pengunjung yang sudi membaca blog saya ini. Pasti ada di antara kita masih lagi dalam mood beraya dan menerima pelawaan ke rumah terbuka. Niat saya ingin membuat rumah terbuka untuk kawan-kawan dan jiran tahun ini tapi masih mempertimbangkannya atas beberapa faktor. Insyaallah. 

Sebenarnya entry mengenai resepi ini sudah saya catatkan di sini. Biasalah kalau En Bapak ke pasar dan ternampak udang ini terjual, pasti dia segera menelefon saya untuk mengubah satu menu mingguan kami kepada resepi ini. Oleh kerana udang ini jarang-jarang diperoleh, maka saya, isteri yang patuh (cewah!) terus bersetuju cadangan si suami.

Tips yang dapat saya kongsikan setelah beberapa kali memasak resepi ini adalah udang ini lebih manis dimasak pada hari berkenaan atau selewat-lewatnya sehari selepas hari ia dibeli. Pendek kata, lagi cepat dimasak lagi sedap.

Pastikan kepala udang dan ekornya dicabut dengan berhati-hati kerana dikhuatiti isinya yang sedikit akan terlerai ketika proses berkenaan dilakukan. Selepas itu bahagian tersebut bolehlah direbus untuk dijadikan stok. Kemanisan stok udang ini lebih menonjol berbanding udang lain yang saya pernah buat. Sila percaya :).


MEE UDANG LIPAN (@udang mentadak @ udang ronggeng)
Bahan-bahan:
  • 1 bungkus mee kuning (basuh dan dicelur)
  • 10 ekor udang lipan
  • 1 labu bawang besar *
  • 2 ulas bawang putih * (ditumbuk)
  • 1 inci halia (diketuk)
  • 1 1/2 sudu besar cili kisar
  • 1 batang kulit kayu manis (kecil sahaja)
  • 1 keping fish cake*
  • 8 biji fish ball *
  • 1 keping tauhu putih *(dihiris kecil dan digoreng)
  • Sawi putih (dihirs)
  • 1/2 biji tomato (potong dadu)
Bahan perasa:
  • Sos tiram
  • sos tomato
  • Garam / gula (jika perlu)
Bahan sampingan:
  • Telur (direbus)
  • Taugeh (dicelur)
  • Limau kasturi
  • Bawang goreng
Cara menyediakannya:
  1. Udang dibersihkan. Asing kepala dan ekornya. Kemudian rebus dgn 4 cawan air untuk dijadikan stok udang.
  2. Tumis bawang besar, bawang putih, halia dan kulit kayu manis hingga naik bau. Masukkan cili kisar dan goreng hingga garing. Masukkan udang dan stok udang. Biarkan mendidih.
  3. Masukkan fish cake, fish ball dan tauhu. Diikuti denngan sayur sawi dan tomato. Perasakan dengan sos secukup rasa. Biarkan kuah sedikit pekat dan angkat.
  4. Untuk menghidang, satukan mee kuning, taugeh, telur, bawang putih dan limau kasturi. Kemudian, curahkan kuah ke atas mangkuk mee tadi. Siap!!!




Friday, August 17, 2012

Nasi Paella Spanish

14 Ogos lepas adalah hari lahir En Bapak yang ke-32 tahun. Kebiasaannya saya memberi pilihann En Bapak untuk memilih kek dan makanan yang bakal disajikan khusus untuknya pada hari berkenaan. Tahun ini pilihan En Bapak adalah kek kurma keju lemon dan nasi paella.

Kebetulan dua hari sebelum hari lahir beliau, saya ada membeli buku masakan Senangnya Memasak Nasi - Chef Hanieliza. Makanya, En Bapak berkenan dengan hidangan nasi paella aka nasi Spanish. Jom kita intai resepinya yang ada juga sikit yang saya memandai-mandai ubah suai ikut selera. hehehe...

Bahan Tumis:
  • 1 labu bawang besar - potong dadu
  • 1 ulas bawang putih - cincang
  • 2 inci halia - diketuk
Bahan A:
  • 1 kg beras basmathi (saya guna 4 cawan beras, basuh dan rendam 10 minit, toskan)
  • 1 liter stok ayam (saya buat stok dan campurkan 1 kiub ayam di dalamnya)
  • 1 potong ikan tenggiri (tak masuk)
  • 200gm isi ayam - dihiris nipis dan lebar (saya masuk 1/4 cawan aje)
  • 200 gm isi kupang (saya masuk 1/2 cawan)
  • 200gm udang besar (masuk 10 ekor)
  • 200gm sotong - potong 2 (masuk 8 ekor)
  • 1 biji capsicum hijau dan merah- potong dadu (masuk setengah biji saja setiap satu)
  • 2 biji tomato- cincang (masuk sebiji)
  • 1/2 cawan kacang pis (guna dalam tin)
  • 3 sb marjerin (guna mentega)
  • 2 sb minyak masak
  • 1 pokok daun sup - cincang (saya guna daun ketumbar)
  • 1/2 sk serbuk kunyit
  • 1/4 sk serbuk paprika - ini saya tambah
  • Garam secukupnya.
Cara menyediakannya:
  1. Panaskan mentega dan minyak. Gorengkan udang dan sotong kira-kira 5 minit. Angkat dan ketepikan.
  2. Tumis bahan tumisan hingga layu dan masukkan isi ayam dan kupang. Kacau rata.
  3. Masukkan stok ayam, serbuk kunyit, serbuk paprika dan garam. Biarkan mendidih.
  4. Masukkan beras, capsicum hijau dan merah, kacang pis dan tomato. Biarkan mendidih.
  5. Oleh kerana saya masak menggunakan periuk nasi, maka saya terus alihkan nasi dari atas dapur ke tempatnya dan biarkan masak dengan secukupnya. (kebiasaanya, nasi ini dimasak dalam kuali ala non stick pan dan bertutup.
  6. Apabila sudah kering, masukkan daun sup (ketumbar), udang dan sotong yang telah digoreng tadi. Biarkan seketika sebelum menghidangkannya dengan acar timun atau salad.
Saya mencuba resepi salsa baru yang diperoleh dari majalah Saji terbitan Mac 2012.
Salsa
Bahan-bahan:
  • 4 biji buah tomato - potong dadu
  • 1 batang timun - buang biji dan potong dadu
  • 1 labu bawang besar - potong dadu
  • 2 tangkai cili merah dan hijau - mayang halus
  • 5 tangkai cili padi - mayang halus (tak masuk sebab cili merah dah pedas)
  • 1 biji lemon - perah jus (guna 2 sb dah cukup)
  • 1 sb minyak zaitun
  • Garam, gula
Cara menyediakannya:
1. Campurkan kesemua bahan-bahan di atas dan gaul mesra dalam satu mangkuk.
2. Perasakan dengan secukupnya dan lebih enak dimakan sejuk. 

Resepi adalah sangat sedap dan masuk senarai wajib masak.

Sekian.











Monday, August 6, 2012

Mi Goreng Hijau Chef Norman

Kebiasaannya menu berasaskan mi harus ada dalam senarai mingguan keluarga kami bagi menggantikan pengambilan nasi. Tidak kira samada jenis bergoreng atau berkuah, resepi pilihan adalah berlainan saban minggu bagi mengelakkan selera menjadi jemu.

Semasa kami ke Hatyai awal tahun lalu, saya pernah terlihat menu ini di Restoran Salma tapi tidak terlintas mencubanya. Namun, setelah memperoleh resepi menerusi buku masakan Chef Norman, pemilik restoran Ning di Manchester, saya tidak tunggu lama untuk mencubanya. 

Penggunaan santan, sos ikan dan aroma daun ketumbar memberi rasa yang berlainan dan memikat selera kami anak beranak. Khalish sampaikan berkali-kali minta tambah. Bagi saya, tambahan limau kasturi sebagai pelengkap rasa lemak, masin dan masam amat sesuai dan dicadangkan mi ini dihidangkan panas sejurus selepas dimasak. 5 bintang untuk resepi ini.

Mi Goreng Hijau
Bahan-bahan:
  • 400 gm mi telur (segar)
  • 250gm isi ayam - dihiris nipis
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 2 sudu besar sos ikan
  • 4 sudu besar santan
  • 2 sudu besar ketumbar cincang
  • 100gm bayam
  • Cili merah untuk hiasan
Bahan dikisar:
  • 4 biji cili hijau -dibuang biji
  • 2 batang serai
  • 8 biji bawang merah (saya guna 2 labu bawang  besar)
  • 4 ulas bawang putih
  • 6 helai daun limau purut
  • 50ml air panas (ikut suka samada mahukan mi sedikit berkuah atau tidak)
Cara menyediakannya:
  • Goreng ayam dalam minyak panas sehingga masak.
  • Masukkan bahan kisar dan goreng selama dua minit.
  • Campurkan mi telur, minyak masak, sos ikan dan santan.
  •     (Jika suka mi yang lebih basah masukkan sedikit air panas.)
  • Goreng selama lima minit hingga kesemuanya rata.
  • Akhir sekali masukkan bayam dan daun ketumbar.
  • Masak sehingga bayam layu kemudian padamkan api.
  • Hidangkan dengan hirisan cili merah..

Tips: Penggunaan AIR PANAS ketika menggoreng mi basah mengelakkan mi menjadi lebih basah tanpa mengembangkan mi. 

Selamat mencuba




Sunday, August 5, 2012

Bake With Yen Ipoh Kini Dibuka

Salam Ramadan kepada yang sudi menjengah blog masakan sayachefkecil.

Berhari-hari saya nak update entry ni baru berkesempatan. Sejak mengikuti kelas masakan awal tahun ini dan berkawan dengan geng-geng baker, saya sekarang dah pandai ajak En Bapak menjengah ke kedai menjual bahan bekalan bakeri bila teringin membuat sebarang resepi biskut, kek atau piza.

Padahal dulu tesco atau giant menjadi tempat pencarian. Lagipun, kedai sebegini adalah terbaik bagi mereka yang inginkan kepelbagai bahan bakeri pada harga murah berbanding di pasaraya. Di Ipoh misalnya saya selalu ke Merit dan Wah Seng, mungkin disebabkan kedudukan kedainya starategik di tengah bandaraya Ipoh.

Di KL pula, sudah dua kali bila balik ke rumah mentua saya pasti mengajak En Bapak ke Bake With Yen (BWY) di Lorong Haji Taib 1, Kuala Lumpur. Memang harga peralatan kelengkapan bakeri adalah lebih murah berbanding di Ipoh. Tapi masalahnya, saya kalau ke sana memang payah nak bajet masa 15 hingga ke 30 minit. Mesti nak paling kurang pun sejam lebih untuk membelek, memilih dan bayar. 

Kesian anak-anak dan En Bapak yang terpaksa menunggu dalam kereta. Dah la kadang-kadang parking susah nak dapat dengan kedai yang ada ekon macam tak de berpeluh ketiak sana sini mencari barang.

Tapi sekarang tidak lagi (eceh dah macam iklan tv plak) sejak BWY Ipoh dibuka sepenuhnya dua minggu lepas saya sangat-sangat lega sebab tak perlu bersemak otak memikirkan cara mengayat En Bapak ke BWY KL bila balik ke rumah mentua nanti. hihihi...

Pandangan pertama saya, BWY Ipoh adalah sangat luas dan lebih tersusun daripada BWY KL. Siap sediakan 6 parking berkotak biru depan kedai untuk pelanggan. Bila masuk saya lihat kaunter bayaran dah macam kat pasaraya dengan siap disediakan troli untuk membeli belah. Bagi saya ia adalah praktikal berbanding kedai bakeri lain di Ipoh yang hanya menyediakan bakul sahaja.

Barangan mentahnya pula dijual dengan pakej mini sekitar 100-250gm dan turut disediakan pek pukal pada harga yang sangat-sangat berbaloi bagi mereka yang ingin menjalankan bisnes. Pelbagai peralatan membuat kek dan biskut yang jarang dijumpai terdapat di sini misalnya acuan kek pelbagai bentuk seperti hello kitty, teddy bear, acuan sebiji kek cawan, bentuk buku dan sebagainya pada harga yang sangat murah. Pilihan memang sangat banyak.

Bagi mereka yang tinggal di Ipoh, moh le kita beramai-rami mencuci mata, perasaan dan dompet sekali ke BWY yang terletak Lot 1, Medan Istana 5, Bandar Ipoh Raya, 30000 Ipoh. Tel: 05-2556116. Kedai dibuka Isnin-Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Ahad tutup ye.

Sekian untuk kali ini.

#saya mempromosi bakeri ini sekadar untuk kemudahan dan makluman individu yang gemar berkunjung ke kedai bakeri seperti saya. Tak dibayar pun#