Wednesday, November 28, 2012

Ketayap Lipat Serawa Durian

Ketika berkunjung ke klinik tempohari, saya masih sempat membeli selonggok durian kampung yang berharga RM10. Elok isinya dan ada sebiji yang besar tapi sayangnya rasanya agak kurang manis. 

Oleh kerana tak minat sangat nak buat tempoyak, makanya kita jadikan bahan perasa untuk bubur pulut hitam dan serawa durian. Hasilnya, memang tidak mengecewakan. Resepi ketayap serawa durian ini saya peroleh menerusi majalah Saji bulan Oktober. Buat 2x adunan terus. Kulit ketayapnya ala-ala crepe dah gopanya. Yang penting, boleh isi inti banyak-banyak. Yummy....

Bahan Kulit:
  • 100gm tepung gandum
  • 1 biji kuning telur
  • 1 biji telur
  • 250ml susu segar
  • 250gm gula halus (ini saya main agak-agak rasa)
  • Sedikit pewarna hijau
  • 5 ulas durian segar

Bahan serawa durian:
  • 3 ulas durian segar (saya letak 10 ulas)
  • 200ml santan pekat
  • 50gm gula halus
  • Daun pandan (saya tambah)
Cara menyediakannya:
1. Terlebih dahulu, sediakan serawa durian. Satukan semua bahan serawa dalam periuk dan kacau hingga mendidih dan kuahnya menjadi pekat. Pastikan menggunakan api perlahan dan sejukkan.
2. Untuk bahan kulit, masukkan semua bahan (kecuali isi durian) dalam sebuah mangkuk dan kacau gunakan whisk hingga sebati kemudian tapis. (nak lagi senang, masukkan semua dalam pengisar).
3. Masukkan satu senduk kecil adunan di atas kuali leper yang telah dipanaskan. Masak hingga kekuningan. Angkat.
4. Isikan isi durian di atas kulit ketayap (terbalikkan) kemudian lipat. Hidangkan bersama serawa durian. 

Tips:
Pastikan kelikatan adunan tidak terlalu pekat atau cair bagi mendapatkan rasa ketayap yang lembut dan enak bila dimakan. 
Lebih enak bila dihidang bersama seteko teh yang dicampur dua biji buah pelaga, sebatang kulit kayu manis dan lima kuntum bunga cengkih. Tak yah bubuh gula, kurangkan manis demi kesihatan. Ecewah...

Wednesday, November 21, 2012

Cucur Geragau Mak

Sekitar 1990-an terutama penghujung tahun adalah masa yang paling saya tunggu-tunggu. Ini kerana waktu tersebut adalah musim geragau. Geragau atau anak udang kecil memang menjadi kegemaran saya sejak kecil. Walaupun boleh dijadikan bahan utama untuk gulai atau kerabu namun cucur aka xekodok geragau tetsp menjadi pojaan hati saya. Klik sini untuk bebelan lanjut.

Inilah rupa udang geragau segar
Resepi cucur geragau aka cekodok air tangan Mak memang tak pernah menghampakan. Kalau cucur ni tengah masak bau daun kunyit merebak di seluruh rumah. Kalau dibuat sarapan pagi hidangan ni seumpama jam loceng yang mampu membuatkan kami adik beradik terus terjaga dari tidur. (hehe...ni zaman anak dara yang kurang rajin tau).

Lebih-lebih lagi Mak suka goreng adunan besar-besar. Masuk empat lima biji dah senak perut. Pulak tu kalau dah sejuk sekalipun cucur ni masih lembut dijamah dengan sos buatan rumah. Saya abadikan resepi ini untuk ingatan masa akan datang. Terima kasih Mak.

RESEPI CUCUR GERAGAU
Bahan-bahan:
  • 2 genggam udang geragau segar (lebih banyak lagi syok)
  • 3 cawan tepung gandum
  • 2 helai daun kunyit (hiris halus)
  • 1 1/2 - 2 cawan air suam (ikut kepekatan adunan)
  • 1/2 cawan kelapa parut
  • Sedikit garam
  • Minyak untuk menggoreng
Cara menyediakannya:
1. Udang geragau dibersihkan dan ditos seketika.
2. Satukan tepung gandum, udang geragau, kelapa dan daun kunyit. Masukkan air sedikit demi sedikit hingga mendapat kepekatan dikehendaki dan perasakan dengan garam.
3. Panaskan minyak dan goreng hingga masak. Enak dimakan bersama sos cili atau sambal tumis.

Sos cili buatan rumah:

Suku cawan sos tomato + suku cawan sos cili + 3 sudu air asam jawa + 5 sudu air suam+ 1 sudu besar cili kisar + garam + gula + 2 ulas bawang putih diketuk = Masukkan dalam periuk dan biarkan mendidih hingga pekat.

Selamat mencuba