Monday, July 23, 2012

Petua Melembutkan Daging Itik & Kari Itik Ramadan

Buat pertama kali dalam hidup, saya memasak kari itik. Sebelum ini di kampung tiada menu itik dalam senarai. Kalau ada pun arwah datuk saudara bagi kari itik sebab keluarganya menternak itik kecil-kecilan.

Sejak En Bapak ternampak Mydin Meru Raya, Ipoh menjual itik tempoh hari, beliau teringin pula mencuba kari itik sebagai juadah 1 Ramadan lepas. Saya seriau juga sebab tak pernah masak itik, takut dagingnya liat selepas masak dan asyik terbayang muncung itik yang suka menyudu-nyudu tu.

Seekor itik dibeli beratnya 2.15 kg hanya RM23.89. Nasib baik saya pesan kat En Bapak minta staf Mydin siangkan daging itu siap-siap supaya memudahkan saya memasaknya nanti. Daging itik kan liat dengan kulitnya tebal lagi, sangat sesuailah dengan pisau diorang yang tajam tu.

Puas saya google mencari cara melembutkan itik dengan mudah. Ada yang kata rebus bersama akar daun pandan, tembikai, serai dan macam-macam. Kebanyakan orang kata nak masak itik ni macam masak ayam kampung, tak kena cara daging pasti liat.

Saya tak ingat petua yang saya cuba ni diperoleh samada dari akhbar atau majalah. Tetapi, hasilnya sangat menggembirakan bagi mereka yang memasak itik buat kali pertama. Daging dimasak elok, tak liat, tak hanyir dan sangat sedap. (betul ni bukan masa angkat bakul masuk sendiri tau).

Petuanya adalah menggunakan NENAS segar yang direbus bersama daging itik. Nenas segar mengandungi enzim bromelain yang membantu memecahkan protein. Ia biasanya digunakan dalam perapan untuk menghasilkan hidangan daging yang empuk dan lazat. Mungkin saya akan cuba menggunakan petua ini sekiranya membuat kebab kelak. 

Resepi Kari Itik
Bahan-bahan:
1 ekor itik
(dipotong 16 bahagian dan direbus dalam periuk bersama lima kepingan NENAS -potong kulit- selama 40 minit atau hingga daging empuk - saya rebus semua walaupun yang dimasak hanya separuh bahagian, separuh lagi cadang nak masak rendang)

Bahan rempah :(utk tumis)
  • 1 inci kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 biji buah pelaga
  • 3 biji bunga cengkih
(utk dikisar / tumbuk)
  • 2 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • sehiris lengkuas
Lain-lain bahan:
  • 4 sudu besar serbuk kari (saya campurkan 1 sb kari ikan + 3 sb kari daging)*
  • 2 sudu besar serbuk cili (kalau nak lagi pedas, terpulang)*
  • (serbuk kari dan serbuk cili dibancuh bersama dengan air asam jawa dan dijadikan pes)
  • 3 biji kentang - dipotong baji (saya goreng separa masak)
  • 2 cawan santan + 1 cawan air
  • 2 sudu kerisik
  • Beberapa helai daun kari
  • Garam, gula dan serbuk perasa secukupnya
Cara menyediakannya:
  1. Panaskan minyak dan masukkan bahan tumis dan daun kari. Apabila naik bau, masukkan bahan kisar.  Masak hingga kekuningan.
  2. Masukkan pes kari dan masak hingga naik minyak. Kemudian, masukkan kentang yang telah digoreng tadi dan itik yang telah ditoskan airnya. Biarkan seketika.
  3. Masukkan santan dan sebuk perasa. Kemudian masukkan garam dan gula. Apabila daging dan kentang telah empuk, masukkan kerisik. Biarkan mendidih seketika dan tutup api. Siap. 

Saya sempat membuat roti jala untuk dicicah bersama kari. Bukan senang nak makan kari itik yang sedap dan roti jala buatan sendirikan. Nasib baiklah acuan roti jala tak meragam semalam. Selamat mencuba.






Tuesday, July 10, 2012

Kelas Memasak Paling Murah di Ipoh

Antara azam saya tahun ini adalah untuk menghadiri kelas memasak. Niat utamanya untuk membuat sendiri hidangan kegemaran keluarga selain menambah ilmu dalam bidang berkenaan. Terima kasih kepada En Bapak yang selama ini menyokong keinginan saya dengan menjadi penaja bagi setiap kelas. hehehe...

Menjadi suri rumah sepenuh masa bukanlah jaminan untuk tahu serba serbi mengenai masakan. Lebih-lebih lagi anak manja seperti saya yang berbekalkan kemahiran masak nasi, kacau goreng dan masak rebus-rebus masa mula-mula kahwin dulu. Itulah nasibnya bila mak nak ajar masak saya ambil ringan dan tolong takat potong bahan-bahan. Sudahnya, bulan-bulan pertama kahwin asyik telefon mak kat kampung tanya resepi dan cara memasak. 

Sampaikan asyik jadi bahan En Bapak kritik saya tak pandai masak walaupun mak ayah bisnes katering. (masa tu saya bengang juga sampai cakap, kenapa tak kahwin dengan chef kan senang). Bila diingatkan kembali, naifnya saya bab itu. Lepas tiga tahun kahwin, sekarang saya boleh berbangga dengan peningkatan kemahiran dimiliki walaupun kadang-kadang ada yang tak berapa menjadi.

Kelas memasak yang saya pergi ni antara yang termurah di Ipoh. Mana nak dapat belajar kek, dekorasi, biskut, meroti, kuih talam, frozen, puff pastri dan coklat hanya RM50 setiap kelas. Kebanyakan yuran kelas yang ada antara RM80-RM200.

Kelas ini dikendalikan Cikgu Shahidan dan ibunya Kak Siti dari sweetbunssweetcakes bakeri. Menariknya Shahidan ni adalah oku pendengaran namun bantuan ibunya membolehkan beliau mengendalikan kelas memasak dengan mudah dan happening.

Kelas diadakan secara praktikal di mana kami diberi peluang mencuba sendiri teknik yang diajar. Resepi yang diberikan juga sedap dan jadi apabila dicuba sendiri. Lagipun ia diadakan hanya hujung minggu. Paling utama, jarak kelas (dibuat dirumah) hanya kira-kira lima kilometer dari rumah membolehkan saya meninggalkan anak dengan tanpa rasa bersalah bersama En Bapak 

Antara kelas yang saya pergi adalah:
Kelas Tart (sekarang boleh makan tart puas-puas)
Fancy cookies
Kelas aneka roti dan bun
Kelas dekorasi kek (selama ni dok biar stand mixer buat kerja, sekali kena buat sendiri tak kena caranya, ceh)
Kelas kek
Dekorasi kek dan cupcake (yang besar tu adalh kek harijadi Khalish)
Kelas biskut raya
Kek raya pilihan saya - pandan delight
Kek raya pilihan En Bapak - kek buah lembap
Lepas pergi beberapa kelas setakat ini, banyak input yang saya pelajari samada dari segi campuran bahan dan teknik. Buat sendiri lebih menjimatkan dan dihasilkan dalam kuantiti yang banyak bermaksud banyak perut gembira mengenainya. hihihi...

Paling best, bila tamat kelas hasilnya akan dibawa pulang oleh peserta. Memang seronok betul bila tengok Khalish, Ilhan dan En Bapak berebut-rebut melihat bekas yang saya bawa dan menikmatinya. Antara menu yang sering menjadi pilihan ramai - talam tokyo, talam sekoteng dan mini piza. Buatnya tak susah mana pun kalau rajin.:)

Insyaallah, kelas akan bermula semula selepas raya. Banyak lagi kelas saya termiss nih. Moga Shahidan dan Kak Siti dimurahkan rezeki kerana tidak lokek berkongsi ilmu dengan kami. Mereka peramah dan akan ajar sampai pandai. Shahidan adalah teliti orangnya, nasiblah korang kalau tak pandai buat memang kena ngadap dia sampai betul cara membuat ikut standard yang ditetapkan beliau plus kena gelak kalau tak jadi. hihihi...

Jika berminat, boleh layari  http://www.kursuskekipoh.com/.

Sunday, July 8, 2012

Kek Coklat Lava : Enak & Mudah

Ada yang juga menamakannya kek molten.
Kalau order piza dominos tak sah kalau tak beli kek coklat lava sekali. Memang sedap sangat sampai kami anak beranak dah ketagih. Tapi tulah sebiji dah dekat RM6. Kalau beli ala-carte RM8.80 sebiji. Tak puas.

Sejak terjumpa resepi kek coklat lava kat myresepi dan mencubanya, asal teringin je dah boleh buat sendiri dan makan sepuasnya. Bahannya amat mudah dan masa persediaan tak sampai 40 minit. Yang penting adalah rasanya seakan sama dengan kek dominos. Makan panas-panas dan menikmati limpahan sos coklat di bahagian tengah. Yummy.

Kepada hantu kek dan coklat, sila cuba.-kredit resepi kepada : aludra@myresepi-
Bahan-bahan ( 2-3 biji ramekin )
  • 1 cawan dark chocolate yg dicincang. - saya guna brand Beryls (coin)
  • 6 sudu besar mentega yg dah dicairkan
  • 2 biji telur.
  • 3 sudu besar gula halus
  • 3 sudu besar tepung
  • 1 sudu besar serbuk koko
  • Secubit garam
Cara menyediakannya:
  1. Panaskan oven pada 160 celcius.
  2. Cairkan coklat dgn mentega. Boleh guna oven atau cara Bain Marie. Masukkan serbuk Koko. Gaul sebati dan ketepikan.
  3. Pukul telur dengan gula selama 3 minit. Campurkan adunan dengan adunan coklat tadi. Masukkan tepung dan garam. Gaul sebati.
  4. Tuangkan dalam bekas ramekin yg dah digriskan. Boleh griskan ramekin dengan mentega dan gula halus.
  5. Masukkan ramekin dalam freezer selama 5 minit. Keluarkan dan masukkan dalam oven selama 11 minit. Adunan tak boleh bakar lebih dari 15 minit.
  6. Keluarkan dan biarkan selama 3 minit. Keluarkan dari ramekin dan hidangkan.
#Saya doublekan bahan kepada dua adunan. Telur guna dua biji sahaja yang lain-lain darabkan dua.

Cara saya:
Cairkan coklat dan mentega dalam oven. Sementara itu, pukul seketika telur dan gula. Campurkan adunan coklat tadi dalam adunan telur. Masukkan tepung dan sedikit garam kemudian masukkan dalam aluminium foil. Simpan dalam peti sejuk (atas) kira-kira 10 minit. Keluarkan dan bakar antara 160-180 celcius selama 11-20 minit. Terpulang pada selera masing-masing samada mahu lebih sos coklat atau sebaliknya. Saya suka kek dimasak 70 peratus manakala En Bapak suka kalau kek 20 peratus dimasak.


Selamat mencuba.