Saturday, June 9, 2012

Lempeng Jagung Berkacang

Tidak sah kalau ke Cameron Highlands jika tidak membeli jagung manis untuk dibawa pulang. Samada direbus, dibuat bubur atau dijadikan cekodok jagung, jagung mesti berada dalam senarai-mesti-beli. Saya mencuba resepi ini selepas membelek resepi hidangan Indonesia dalam sebuah buku mini.

Rasa jintan putih nyata serasi dengan kemanisan jagung dan penambahan daun ketumbar turut memberi rasa yang lebih menyerlah. Disebabkan Khalish alah kepada kekacang, saya tidak memasukkan kacang tanah di dalam resepi ini. Maka, saya menambah beberapa sudu tepung lagi untuk mendapatkan tekstur supaya mudah dibentuk dengan sudu.

Saya kongsikan resepi asal menu ini.
Lempeng Jagung Berkacang
Bahan2:
  • 2 tongkol jagung manis
  • 1 cawan kacang tanah dipanggang (saya tak masuk)
  • 3 batang daun bawang - dicincang (gantikan dengan daun ketumbar)
  • 2 sk halia segar diparut (saya tak masuk)
  • 1 ulas bawang putih -  diketuk
  • 1 sk serbuk jintan putih
  • 1 biji telur - dipukul sedikit
  • 2 sb tepung beras
  • 125 ml minyak
Cara menyediakannya:
  1. Asingkan biji jagung daripada tongkolnya dengan pisau. Campurkan dalam pengisar bersama kacang, daun bawang, halia, bawang putih dan jintan putih. Kisar hingga lumut dan lembik sedikit. Masukkan dalam mangkuk.
  2. Masukkan telur dan tepung beras. Kacau sebati. Jika terlalu lembik, tambah sesudu-dua tepung lagi.
  3. Panaskan minyak dalam kuali leper (minyak sekadar penuh paras dasar kuali. Ceduk adunan menggunakan sudu ke dalam kuali dan leperkan dengan belakang sudu. Masak menggunakan api sederhana hingga keperangan. Letakkan di atas tisu dapur untuk menyerap lebihan minyak.
Nota: Lempeng ini enak dimakan bersama sos cili thai dan biji jagung rebus.

Tuesday, May 22, 2012

Daging Berketumbar

Saya tertarik dengan kebanyakan resepi yang dipaparkan menerusi buku Resepi Chef Norman terbitan Karangkraf. Boleh dikatakan kebanyakan resepi sudah saya ulang sediakan untuk hidangan kami sekeluarga. Lagipun bahan-bahannya adalah senang didapati dan paling penting memberi rasa yang berlainan. Cubalah sendiri.
Bahan-bahannya:
  • 500 gm daging - dihiris nipis
  • 2 sb minyak masak
  • 6 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih - diketuk
  • 1 biji cili merah
  • 10 tangkai daun ketumbar
  • 1 biji limau nipis - ambil jusnya
  • 1 sb lada hitam - ditumbuk kasar
  • 1 sk lada putih - ditumbuk kasar
  • 1 sk gula pasir
  • 2 sb kicap cair
  • 2 sb sos ikan
  • 150gm bayam
  • 1 batang lobak merah - dihiris halus memanjang
  • 50ml air
Cara menyediakannya:
  1. Bahan perap: Kisar bawang putih, bawang merah, cili dan daun ketumbar sehingga halus. Masukkan ke dalam periuk.
  2. Campurkan dengan jus limau nipis, kicap cair, sos ikan, lada hitam dan lada putih. Masukkan daging. Perap di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya selama dua jam.
  3. Panaskan minyak atas api kuat. Goreng daging sehingga keperangan dan masak. Ketepikan.
  4. Goreng pula bayam dan lobak merah. Tuangkan baki bahan perap dan 50ml air. Kacau sehingga bayam lembut. Hidangkan dengan hirisan daging tadi. Hias dengan cili merah. Enak dimakan panas.

Selamat mencuba.


Monday, May 21, 2012

Kari Hijau Thai Meletop

Ini resepi pertama pilihan saya untuk dipaparkan.
Saya peroleh daripada blog En Mat Gebu di sini yang beliau peroleh dari sini.

Kami suami isteri penggemar masakan kari. Kari Hijau ini termasuk dalam senarai kerana pes yang dibuat sendiri sangat-sangat menguja selera berbanding pes segera. Saya gantikan terung dengan rebung madu yang masih segar diperoleh di Pasar Besar Ipoh. 

Gandingannya memang kena dengan daging selain penggunaan daun selasih memberi aroma yang menyenangkan satu dapur. Selain itu, penggunaan sos nampla atau sos ikan memainkan peranan menggantikan garam. Jom semak resepi.

Bahan Pes:
  • 1 batang serai, hiris halus
  • 1 -3 biji cili padi siam, hiris halus (saya ikut en mat guna 10 biji + 2 cili hijau)
  • 2 biji bawang merah, hiris halus
  • 4 - 5 biji bawang putih, cincang
  • 1 inci lengkuas
  • 1 inci halia
  • 1/2 cawan daun ketumbar (guna semua sekali termasuk akar)
  • 1/2 cawan daun selasih atau sweet thai basil
  • 1/2 camca teh serbuk jintan manis
  • 1/2 camca teh serbuk lada sulah
  • 1/2 camca teh serbuk ketumbar
  • 3 camca besar sos ikan (nampla)
  • 1 inci belacan
  • 2 camca besar jus limau nipis
  • 1 camca teh gula perang/merah
  • 3 - 4 camca besar santan
Bahan lain:
  • 500 gram daging batang pinang (saya guna separuh)
  • 1 biji terung biru, didadu besar2 (sebungkus rebung madu setiap satu dipotong empat)
  • 1 biji tomato, belah 6
  • 2 batang serai, dititik
  • 4 helai daun limau purut
  • 10 biji cili padi merah thai, diketuk
  • Pes kari hijau thai (resipi di atas)
  • 800 ml santan cair (500 ml)
  • 300 ml pati santan
  • Jus limau nipis secukupnya
  • Sos ikan secukupnya
  • Gula secukup rasa
  • Daun selasih secukupnya (anggaran 1 genggam)
Cara menyediakannya:
  1. Untuk pes : Satukan semua bahan ke dalam alat pengisar. Kisar halus hingga semua lumat. Boleh digunakan terus atau disimpan dalam bekas bersih dan kering, masukkan dalam peti sejuk untuk tempoh 1 minggu. Untuk lebih lama boleh dibekukan dalam freezer.
  2. Untuk kari hijau: Panaskan sedikit minyak dalam periuk, tumis pes kari hijau hingga harum, masukkan serai dan juga daging. Gaul rata dan masak sekejap hingga daging kecut.
  3. Tuang santan cair, kacau dan tambah daun limau purut, biar masak hingga daging 1/2 empuk. Masukkan rebung madu dan juga cili padi thai. Bila mendidih, tuang pati santan. Perasakan dengan sos ikan, jus limau nipis dan sedikit gula. Masak sekejap dengan api sederhana. Kacau selalu.
  4. Akhir sekali masukkan daun selasih, kacau rata dan matikan api. Rasa dan tambah sos ikan jika kurang masin. Enak dimakan bersama nasi panas. Selamat mencuba.

notajari: kalau google imej atas tajuk kari hijau thai akan ternampak gambar di atas dalam blog ceria-resepi.blogspot.com. Selamba je kan curi gambar, kredit pun tak de. Ishhh...

Pembuka Kata

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya mempunyai blog masakan sendiri. Saya bukanlah chef atau tukang masak hebat yang ingin bersaing dengan mana-mana sifu dalam dapur maya.
Hanya sekadar tukang masak domestik yang saban hari memasak untuk keluarga kecil kami.

Blog ini adalah sebagai rujukan koleksi resepi dari serata ceruk dapur geng blogger, buku masakan serta resepi air tangan keluarga dan kenalan.

Harapan hanyalah satu, blog ini sebagai himpunan koleksi dan rujukan resepi yang telah saya cuba sendiri. Selain itu, selepas ini Khalish dan Ilhan tidak lagi menconteng buku masakan saya dan tiada rungutan akibat buku resepi saya dikoyakkan oleh mereka berdua. hehehe...

Moga ada manfaat yang boleh dikongsi bersama menerusi paparan blog ini. Terima kasih terlebih dahulu kepada semua sumber resepi di dalam blog ini.

Jom masak!