Tuesday, May 28, 2013

Tips Asas Menggunakan Bread Maker & Koleksi Resepi Homemade Piza

Sungguh, tajuk entry ni lama betul dalam simpanan. Sejak tahun lepas. Tapi, isinya asyik lah bertangguh nak taip. Kebetulan Mak Long Zuridah saya yang tinggal di Pengkalan Balak, Melaka sudah memiliki Bread Maker (BM) yang dihadiah anak sulungnya dan atas permintaan beliau untuk meminta saya berkongsi resepi piza, maka haruslah kita merajinkan diri untuk selesaikan entry tertunggak ni. :)

Khalish dan kami adalah penggemar piza dan hampir setiap bulan menikmatinya, Oleh kerana permintaan piza asyik kedengaran, maka En Bapak telah menghadiahkan saya Bread Maker sempena ulang tahun perkahwinan kami tahun lepas. Diulang tahun lepas ye. (haha...lama benau ceritanya dah nak masuk ulang tahun berikut dah ni. hehe)

Selepas membuat beberapa tinjauan, akhirnya brand tesco menjadi pilihan memandangkan harga yang ditawarkan adalah lebih rendah berbanding jenama lain. Walaupun jenama tesco je pun, tapi alhamdulillah sampai sekarang khidmatnya masih tiptop. Paling best masa tu ada diskaun lagi. Setakat adunan 900gm, oklah bukan nak berniaga pun. Yang mahal tu sebab boleh uli sampai berkilo-kilo adunan. 

BM ni bagus sebab ada banyak fungsi. Nak mengguli doh, roti asas (french, manis atau sandwich), buat jem malahan untuk bakar sebiji roti dalam tu pun boleh. Bagi yang tangan tak kuat mengguli macam saya, BM adalah merupakan mesin bantuan yang amat berguna. Jangan tak percaya, saya siap buat doh kuih gunting dan kuih siput dalam BM bulan Ramadhan lepas. hihihi

Al-kisah, masa kali pertama menggunakan BM, saya nak buat piza, maka menu dough dipilih dan masa untuk mengguli adalah 1 jam 30 minit. Jadi, lepas masukkan bahan saya pun on kan dan tunggulah hingga bunyi bip. Tup-tup...bila buka hamik ko adunan dah siap mengembang dan sukar membentuk adunan untuk diletak dalam dulang piza. Terpaksalah pula tambah beberapa sudu tepung untuk memudahkan sesi berkenaan.

Pengajaran yang saya dapat kalau nak buat piza atau roti, bila bunyi bip kali pertama berbunyi (masa tak lama dalam 30-40 minit gitu). Terus off kan BM. Keluarkan adunan dan tumbuk-tumbuk untuk keluarkan angin. Lepas tu, bahagikan kepada beberapa bahagian. Leperkan satu bahagian mengikut ketebalan yang dikehendaki (jangan tebal sangat sebab adunan akan naik nanti)dan letakkan atas dulang piza atau loyang dan tunggu doh mengembang dua kali ganda. Dah naik, baru bakar doh tadi 10-12 minit atau hingga topping sedikit kekuningan.

Lepas tu baru letakkan topping dan keju baru bakar sekali lagi hingga keju mencair dan sedikit rangup dohnya. Syoknya buat piza sendiri sebab kita boleh buat roti asasnya tebal ikut suka, letaklah topping banyak dan keju banyak mana. Lepas tu, jangan bising berat badan naik ok. hihihi...

Ini sebahagian koleksi doh yang saya pernah cuba. Dapat pun dari dapur blogger masakan yang dalam list tepi tu. Silalah membongkar dapur2 mereka ye. Sebenarnya kalau nak lagi sedap tambahkan minyak zaitun dalam sesudu dua. Kalau nak uli pakai tangan pun boleh. 

Doh Piza 1: (*resepi ni menghasilkan 6 kpg piza 9" pelbagai ketebalan)

500 gm tepung hi-protein (ayak dulu)
1 paket yis (11gm)
2 sb gula
1 s/k garam
3 sb marjerin / shortening (lelemak sayuran)
1 1/4 cwn air suam (bergantung)
1 biji telur

Cara menyediakannya:
1. Campurkan 1/4 cawan air suam, yis dan gula. Biarkan hingga berbuih. Masukkan dalam BM.
2. Masukkan tepung dan bahan-bahan lain selebihnya.
3. Set menu dough dan biarkan BM menjalankan tugasnya hingga bunyi bip pertama. Off kan BM.
4. Keluarkan adunan dan masukkan dalam mangkuk. Tumbuk-tumbukkan doh dan uli sekejap. Kemudian leperkan doh (guna penggelek / gelas) dan letakkan atas dulang piza / loyang. Ikutla nak ketebalan macamana, nak tebal ke, sederhana atau nipis.
5. Biarkan naik sekali ganda. (lebih kurang 15 minit). Masa yang sama sila panaskan ye- 15 minit.
6. Bila doh naik, cucukkan dasarnya dengan garfu. Takat 4-5 cucuk udah setakat nak keluarkan udara. 
7. Masukkan piza dalam oven suhu 180 darjah selama 10-12 minit atau nampak sedikit kekuningan atasnya. 
8. Keluarkan. Letaklah topping yang disukai beserta taburan keju. Lepas tu, bakar lagi hingga keju mencair.

Untuk resepi seterusnya stepnya adalah sama seperti di atas.

Doh Piza 2:

250gm tepung hi-protein
100ml air
1/2 sb gula
1/2 sk garam
1 sk yis
1 sb madu atau susu pekat atau susu tepung yang dijual di kedai bahan bakeri
1 sb shortening
2 sb minyak zaitun
2 ulas bawang putih
1 biji telur
25gm marjerin

Doh Piza 3: (resepi drp blog kak aziejaya: beliau gunakan tangan je, dpt 2 kpg piza. saya belum berkesempatan mencuba guna BM. Kalau nak lebih, buat 2x adunan daripada bahan-bahan berikut)

1 1/2 cawan air suam
2 sk yis
Secubit gula
4 cawan tepung
1/4 sk garam
1/4 cawan minyak zaitun
Sedikit minyak zaitun untuk sapuan tepi doh yang akan dibakar.


Untuk resepi topping, kita sambung lain entry ye. 








Friday, May 24, 2013

Mangkuk Sarapan Semudah 1,2,3


Assalamualaikum wbt

Lama betul saya tak update resepi yang dicuba sendiri. Bukan malas tau tapi kurang rajin. hihihi...Dah pernah nampak resepi ni dalam buku masakan untuk kanak-kanak. Tang roti yang dijadikan mangkuk tapi dalam buku tu intinya adalah nasi goreng. 

Kemudian, ternampak pula Serena Masterchef Selebriti buat benda yang sama. So, semangat nak rasa  (padahal nafsu makan tu) berkobar-kobar dan akhirnya berjaya dihasilkan pada sarapan semalam. Cuma lain kali kena buat lebih sebab En Bapak kata tak cukup enam keping. hihihi...Nak ulang buat inti balik, tak kuasa akak. 

Mungkin anda boleh olah intinya dengan daging kisar, atau hirisan sosej yang dikaramel seketika atau mungkin boleh ditaburkan keju di atasnya. Tak salah mencuba kan. Jom intai resepi olahan saya ni, kalau sudi cubalah sendiri.

MANGKUK SARAPAN SEMUDAH 1,2,3
(Inspirasi daripada blog Martha Stewart)

BAHAN-BAHAN:

6 keping roti putih 
Semangkuk kecil inti ayam
(saya perap ayam bersama sedikit daun ketumbar dan ditumis bersama bawang putih dan bawang merah)
Semangkuk kecil sardin 
(saya tumiskan bersama bawang dan masukkan 3 batang cili padi yang dihiris halus. Kemudian perahkan dengan limau kasturi)
Sedikit kucai untuk taburan
Beberapa biji telur
Taburan lada hitam

CARA MENYEDIAKANNYA:

1. Terap acuan bulat atau gunakan saja cawan atau mangkuk ke atas roti. Kemudian susun dalam dulang muffin yang disapu dengan marjerin.

2. Kemudian, bakar roti berkenaan selama 5 minit pada suhu 180 darjah. Keluarkan.


3. Isikan inti ayam atau sardin tadi. Selepas itu, pecahkan telur di atasnya. Taburkan sedikit garam, daun kucai dan lada hitam. Bakar lagi selama 15-17 minit bergantung samada telur separuh masak atau sepenuh masak yang anda mahukan.

Tara....dah siap. Saya lebih sukakan bakul yang berinti tanpa telur. En Bapak lebih sukakan yang bertelur. Rasanya rangup di luar dan lembut di dalam. Enak dicicah dengan sos cili. Makan panas-panas tau.