Wednesday, February 13, 2013

Laksa Pangkor Ori

Sebelum terlupa, baik saya catatkan resepi yang diperoleh daripada penjual laksa Pangkor ketika bercuti di Lumut, baru-baru ini. Kebetulan bertemu pemilik kedai, saya terus tanyakan resepi asli laksa berkenaan. Bahan-bahan disebut begitu sahaja tanpa sukatan khusus. Main ingat sahaja, masuk dalam kereta terus taip disimpan dalam memori henfon.

Mi laksa Pangkor ni ada dijual di kedai hasil laut Jamilah. Sebungkus berharga RM2.50 untuk makan empat hingga kelima orang. Rasanya seakan gabungan mi kuning dan laksa. Lembut sikit daripada spaghetti. Waktu mencelur tak perlu lama, masukkan dalam air mendidih lebih kurang lima minit, angkat dan toskan. Rasanya juga sudah siap bergaram.

Saya pernah buat dulu resepinya di sini. Tapi itu versi derhakalah. Ini resepi asli. Yang memekatkannya adalah kepala ikan kembung yang dikisar itu. Rasa awal seperti kuah masak pindang. Tapi, bila dimakan bersama sambal udang kering, baru terangkat.

Sambal udang kering tu, buat pekat sikit, masukkan air asam jawa dan tumbuk-tumbuk manja sikit udang kering tu. Masukkan udang lepas menumis bawang dan cili merah. Biarkan hingga keluar minyak. Jangan lupa tambah garam dan gula. Fuhh...

Laksa Pangkor
Bahan-bahannya:
  • 6 ekor ikan kembung
  • 5-6 cawan air
  • 1 batang serai
  • 1 keping asam gelugur
  • 1 inci halia
  • Mi Laksa Pangkor - dicelur dan ditos
  • Sambal udang kering
  • Kacang panjang - dihiris nipis
  • Lobak merah - dipotong dadu
  • Lobak asin- dipotong kecil dan digoreng seketika 
Cara menyediakannya:
1. Potong kepala ikan dan asingkan badannya. Masukkan air ke dalam periuk bersama serai, halia dan asam gelugur. Biarkan mendidih.

2. Dalam periuk yang lain, rebus kepala ikan tadi hingga masak dan kisar hingga halus dengan sedikit air. Tapis dan ketepikan.

3. Masukkan badan ikan tadi ke dalam periuk 1 dan biarkan ikan masak. Setelah itu, masukkan garam dan bahan perasa. Masukkan tapisan kepala ikan tadi ke dalamnya untuk memekatkan kuah. Kecilkan api.

4. Sementara itu, celur mi laksa hingga lembut dan toskan.

5. Setalah masak, masukkan laksa, bahan sayur dan tuangkan kuah di atasnya. Enak dimakan bersama sambal udang kering.



3 comments:

  1. Jika di Pantai Remis, namanya di sebut laksa me.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Gitu...masa ke pantai remis tempoh hari tak berjumpa pula dengan laksa me. Kami ke restoran 3R Mi Udang Lipan

      Delete
  2. sy org pangkor.. d pangkor pon org panggil laksamee.. hanya org luar je yang menggelarkan laksamee sbg laksa pangkor.. laksa pangkor sbnarnya laksa yang di buat sendiri.. bentuk sama dgn laksa penang cuma mggunakan tepung gandum.. klu laksa penang guna tepung beras..

    ReplyDelete