Monday, December 24, 2012

Laksa Johor Menangis (sebab sedap atau pedas)

Dah lama tak pergi Johor. Banyak tahun dah. Kali terakhir rasanya ke Muar makan mi bandung masa zaman sekolah rendah. Kalau laksa Johor, teringat air tangan arwah kawan MIL (moga rohnya dicucuri rahmat) yang pakar dalam masakan itu ketika beraya di rumahnya dua tahun lepas. Siap bertambah 2-3 kali. *buruk perangai.

Dulu ada Laksa Shack di Tesco Station 18, Ipoh namun dah ditutup selepas kami menikmati Laksa Johor dan Laksa Sarawak yang juga kegemaran saya. Di Ipoh, tak banyak makanan negeri lain yang dijual terutama Laksa Johor. Kalau teringin sangat terpaksalah buat sendiri. Nak balik ke KL adalah mengambil masa yang lama tak tentu bila.
 .
Jadi cari punya cari terjumpa dalam dapur Kak Gee resepi laksa Johor yang mabeles. Beliau pernah meniaga laksa ni walaupun dia bukan orang Johor. Boleh tengok resepi asal di blog beliau ye. 

Bahan-bahan:
  • 1kg ikan sardin (ada orang panggil ikan selayang) - saya guna 10 ekor 
  • ¾ cawan rempah kari ikan (Kak Gee guna Babas) - saya pun sama
  • ½ cawan cili kering yg dikisar - setakat 2 sudu besar - anak-anak nak makan sama
  • ¾ cawan udang kering (cuci bersih, keringkan dan kisar) - 5 sudu besar
  • 5 batang serai - 3 batang
  • 2 inci halia
  • 2 inci lengkuas
  • 5 biji bawang besar
  • 2 cawan santan pekat - 1 1/2 cawan
  •  ½ cawan minyak masak
  • 1 sudu besar kerisik
Bahan Mi:
1 paket spaghetti (boleh dimakan 10 orang) direbus dengan sedikit garam. Bila rasa dah kenyal, tapis dan siram air sejuk pada keseluruhan spaghetti. Tapis air dan bubuh sedikit minyak supaya tidak melekat.

Bahan ulam-ulaman:
  • Timun
  • Taugeh
  • Daun kesom/daun selasih
  • Kacang panjang
  • Limau kasturi 
  • Bawang besar
  • Lobak asin - digoreng terlebih dahulu dengan sedikit minyak
Cara menyediakannya:

1. Ikan dibersihkan dan direbus dengan air bersama garam dan sekeping asam gelugur hingga ikan masak. Air kukusan disimpan. Asingkan isi ikan dan tulangnya. Kisar isi dan air kukusan ikan tadi. Kemudian tulangnya juga dikisar dan ditapis. Ketepikan

2. Kisar bawang, serai, lengkuas dan halia sampai halus.

3. Panaskan periuk dan tumis bahan kisar tadi hingga naik bau. Masukkan rempah ikan dan goreng pantas selama satu minit. Masukkan setengah cawan air dan goreng kira-kira lima minit. Kemudian masukkan cili kisar dan goreng lagi sampai terbit minyak.

4. Selepas itu, masukkan ikan yang telah dikisar. Kacau rata dan masukkan tiga cawan air dan santan. Bila mendidih, masukkan pula udang kering kisar dan satu sudu besar kerisik.

5. Bila kuah dah menggelegak, perasakan dengan garam, gula dan serbuk perasa. Cara menghidang adalah dengan meletak spaghetti ke dalam mangkuk, taburkan dengan bahan ulaman, isi kuah laksa dan sambal udang kering di atasnya. Terliur pulak....

Tips:
Kuah laksa Johor agak pekat dan pandai-pandailah menambah air bagi mengurangkan kepekatannya. Gunakan air rebusan ikan tadi.
Bagi saya, laksa ini adalah lebih sedap daripada LS (oppss...sori) kerana gabungan rasa lemak ikan, sambal udang kering dan ulam sangat seimbang. Hasilnya juga adalah sangat banyak. Rezeki untuk jiran sebelah. 

Syukur...



No comments:

Post a Comment