Friday, August 23, 2013

Bakso Ipoh Mali

Amboi...memang lama betul saya tak update blog masak ni. Tak pelah, saya cuba pelan-pelan merajinkan diri berkongsi resepi yang dah berjaya saya buat ek. Tak lama dulu dah pernah buat bakso tapi guna bebola daging - bakso yang dibeli di Pasar Besar Ipoh.

Kalau beli bakso yang dah ready made ni kena masak hari tu juga untuk rasa kesegarannya. Paling lewat pun sehari lepas tu. Kalau tak memang rasa semacam la. Lepas kejadian buat bebola ikan tak jadi akibat keyakinan melampau hingga salah menggunakan tepung (patut guna tepung ubi bukan tepung jagung), semangat memasak saya betul-betul menurun. Konon serik la nak buat sebarang resepi bebola sendiri.

Tiba-tiba (dah macam buku cerita lak ye) sebelum Ramadan lepas, teringin pula nak buat bakso sendiri. Lagi puas dan ikut citarasa sendiri. Boleh potong lobak merah besar-besar (kat rumah ni ada 2 orang macam arnab - sapa lagi kalau bukan Khalish dan Ilhan) kasi taruh dengan kentang banyak-banyak. Resepi bebola bakso saya peroleh dari internet, kuah sup dan kuah kicapnya saya guna resepi daripada mak. Hasilnya menjadi dan sangat menggembirakan hati. Cubalah ye...

Bakso Ipoh Mali

Untuk bebola daging:

300gm daging kisar
1 sb tepung gandum
3 sb tepung ubi
1 biji telur putih
1/4 sk lada sulah
1/4 sk garam

Cara menyediakannya:
1. Campurkan semua bahan. Ambil sedikit dan bulat-bulatkan mengikut saiz dikehendaki. (tips: basahkan tangan dan bulat-bulatkan atas tapak tangan. Sapu sedikit minyak untuk melicinkan permukaan bebola).

2. Masukkan dalam air mendidih dan rebus hingga bebola terapung di permukaan air. Pastikan menggunakan api sederhana supaya bakso tak mudah pecah. Angkat dan toskan.

Untuk kuah sup:
1 labu bawang besar - tumbuk
2 ulas bawang putih - tumbuk
Sedikit halia dihiris
Rempah 4 sekawan (bunga lawang, buah pelaga, cengkih dan kulit kayu manis)
Sedikit rempah serbuk sup dan serbuk kurma - lebih kurang 1 sb setiap satu
(campurkan sedikit air untuk dijadikan pes)
Air (700ml)
Lobak merah
Kentang
Garam

1. Tumis rempah 4 sekawan dan bawang hingga naik bau. Masukkan halia.
2. Masukkan rempah yang dijadikan pes.
3. Masukkan air beserta lobak dan kentang. Biarkan mendidih dan empuk.
4. Perasakan dengan garam.

Untuk Kuah Kicap:
9 biji cili api akar (nak pedas boleh tambah lagi)
4 sb bawang goreng
1/2 senduk besar kicap manis
1 biji limau kasturi

Kisar semua bahan dan tambah gula dan garam ikut keperluan. Jika pekat tambah lagi kicap. Jangan tambah air.

Lain-lain bahan pelengkap:

Mee kuning
Tauhu goreng
Daun bawang dan sup
Sawi
Bawang goreng

Penyediaan:

Isikan mee kuning, tauhu, sawi dan sup ke dalam mangkuk.
Masukkan bebola daging dan hiaskan daun bawang serta bawang goreng.
Masukkan kuah kicap sebagai pelengkap rasa.

Tips:

#ketika menghidang masukkan beberapa biji bebola daging ke dalam periuk sup. Biarkan 2-3 minit. Jangan biarkan lama-lama kerana bebola akan menjadi kembang dan hancur di dalam kuah sup. Angkat terus letakkan ke dalam mangkuk. 


Selamat mencuba.